BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas susulan insiden letupan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju malam kelmarin.
Beliau menekankan keperluan untuk kajian menyeluruh terhadap standard keselamatan kilang bagi mengelakkan tragedi serupa berulang.
“Awal 2025, kita sudah menyaksikan satu lagi letupan kilang yang mana kejadian ini sangat mengejutkan dan tidak boleh diterima.
“Ia jelas mencerminkan kegagalan syarikat untuk mempelajari pengajaran daripada insiden terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tegas beliau, isu keselamatan di Taman Perindustrian Samalaju telah lama membimbangkan penduduk setempat berikuta beberapa insiden letupan yang berlaku tahun lalu telah meragut nyawa pekerja, menjadikan keselamatan tempat kerja isu yang sangat kritikal.
“Tragedi ini tidak sepatutnya berlaku lagi, tetapi kini ia kelihatan seperti menjadi masalah berulang bagi sesetengah syarikat.
“Ini adalah satu tahap kecuaian yang tidak boleh dibiarkan,” tambahnya.
Beliau menggesa syarikat-syarikat terlibat untuk mengutamakan keselamatan pekerja dengan melaksanakan langkah-langkah seperti protokol keselamatan yang lebih ketat, penilaian risiko berkala, dan pemantauan berterusan bahan berbahaya.
“Setiap pekerja adalah aset paling bernilai bagi sesebuah syarikat, jadi keselamatan mereka harus menjadi keutamaan utama.
“Selain itu, syarikat juga perlu mengambil kira kesan insiden seperti ini terhadap alam sekitar dan keselamatan komuniti di Bintulu,” tegasnya.
Johnny Pang turut memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
Bagaimanapun, beliau meluahkan kekecewaan apabila tanggungjawab dilihat seperti diserahkan kepada jabatan lain.
Beliau berjanji akan terus memantau perkembangan isu ini, termasuk meminta laporan terperinci daripada pihak syarikat dan mendesak agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan penilaian risiko keselamatan secara menyeluruh di kilang tersebut.
“Kita tidak boleh membiarkan kejadian seperti ini terus berlaku.
“Pematuhan kepada standard keselamatan tertinggi adalah penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja serta memberikan penduduk Bintulu persekitaran hidup yang selamat,” katanya.
Terdahulu, satu letupan gas hidrogen berlaku di sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju di sini malam kelmarin, dipercayai akibat kebocoran pada bahagian penapis ‘vessel’.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.