Oleh: Roslan Jomel
NASKHAH yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu menampilkan perihal sejenis penyakit kejiwaan yang dialami oleh watak utama. Doktor pakar yang merawat watak utama mengesahkan bahawa penyakit yang dialami itu ialah Persistent Depressive Disorder dan Persistent Major Depressive Dissorder.
Sungguh menyeramkan. Penyakit itu, sebagaimana dinasihatkan doktor pakar, perlu diberikan perhatian dan sokongan moral, dan sukar untuk dihadapi secara bersendirian. Hal itu kerana, jika dibiarkan tanpa pengawasan khusus, dibimbangkan akan mengundang beberapa musibah dan kecederaan akibat perbuatan ekstrem si pesakit. Maka, naskhah menampilkan watak utama yang bermasalah serius, kerana melibatkan akal dan emosi tidak menentu, pasti menawarkan pengalaman dan cabaran kepada pembaca.
Tetapi, malangnya, dari awal hingga akhir naskhah itu, pengarang tidak menumpukan kajian kepada permasalahan watak utama dengan sepatutnya. Apakah cerita yang hendak dibawa oleh pengarang? Adakah ingin menyatakan nama dan jenis penyakit yang dialami oleh watak utama semata-mata? Penderitaan dan kepayahan emosi yang menakluki jiwa dan fikiran watak utama tidak diserlahkan untuk meyakinkan pembaca tentang beban yang dipikul watak utama. Hal ini menyebabkan naskhah yang ditampilkan itu kurang mengesankan kepada pembaca.
“Karya sastera tidak sama dengan dokumen kebudayaan atau buku ilmu apa pun, misalnya buku sejarah. Sebenarnya karya sastera, dan karya seni apa pun, dicipta oleh seniman sebagai lawan atau pelengkap tulisan ilmu dalam usaha manusia mendapatkan kebenaran. Tulisan ilmu mengemukakan pernyataan-pernyataan (ilmu logika, statements, epistemologi: kebenaran-kebenaran) yang sudah diketahui oleh ilmuwan atau ahli falsafah mana pun. Namun karya sastera mengemukakan pernyataan (kebenaran) yang belum diketahui, atau yang belum disepakati, atau yang tidak dapat diterangkan oleh ilmuwan atau ahli falsafah.” – dipetik dari buku Kritikan Karya Sastera Sebagai Karya Seni, Lutfi Abas, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2000.
Sebagai sebuah naskhah karya kreatif (yang berimaginatif – sudah tentunya), “Distimia” yang ditulis oleh Azrinna Jamahari, sewajarnya bukan sekadar memaparkan jenis penyakit dan istilah perubatan moden untuk mengangkat permasalahan kejiwaan yang ditanggung oleh watak utamanya. Watak utama tidak diberikan karakter untuk mengukuhkan subjek penceritaan. Bahkan watak utama seolah-olah diletakkan di pinggir naskhah. Pengarang perlu sedar akan aspek itu demi memperkuatkan naskhahnya. Kelompangan ini tidak selayaknya dibiarkan begitu sahaja, menjadikan naskhah itu kering dan kurang menarik sebagai sebuah karya sastera.
Walau bagaimanapun, dari sudut menambahkan pengetahuan, apa yang diusahakan oleh pengarangnya, memang bermanfaat untuk kesedaran masyarakat tentang kerumitan penyakit kejiwaan. Tidak mudah mengecap seseorang dengan panggilan gila. Ada beberapa lapisan penyakit kejiwaan yang sangat kompleks untuk dimengerti oleh orang kebanyakan tanpa pengetahuan dan ilmu perubatan moden.
Tetapi, karya sastera menuntut cerita, lebih-lebih lagi pengarang menampilkan watak utama yang menghidap penyakit, distimia. Boleh rujuk di Internet tentang gejala-gejala penyakit dimaksudkan. Pembaca ingin menyelami liku-liku permasalahan watak utama melalui cerita. Jika tidak, bagaimanakah kisah watak utama hendak disalurkan?
Kelaziman segelintir pengarang untuk membuatkan pembacanya berasa takjub adalah dengan mereka tajuk-tajuk yang kedengaran pelik dan impresif. Okey, hal itu tidak menjadi masalah besar. Tetapi, apa yang menyebabkan seseorang pengarang lupa adalah asas sesebuah naskhah karya kreatif. Apakah gunanya tajuk yang gah dan bernuansa sofistikated? Sedangkan ceritanya kosong dan hampir dikatakan tiada langsung. Hal demikian agak mengecewakan dalam penulisan karya kreatif. Naskhah “Distimia” sewajarnya mampu mengungkap ketidakstabilan watak Azura, tentang beban-beban dalam jiwanya yang tidak berkelakuan sebagaimana manusia normal lain.
Konflik dan pengembangan wataknya terabai lantaran pengarang naskhah terlalu menjelaskan penyakit kecelaruan mental oleh Azura, pemain peran utama. Penjelasan ini bagaikan sebuah laporan perubatan daripada doktor kepada pesakit. Walhal Azrinna Jamhari mempunyai peluang untuk merakam gejala yang menjejaskan kestabilan emosi Azura semaksimum mungkin.
Apa yang dimaklumkan oleh pengarang ialah, Azura kerap melakukan tindakan di luar jangkaan. Misalnya, mencederakan diri sendiri dengan sengaja dan paling merisaukan, cenderung untuk menamatkan hayat hidup. Ia bukan perkara enteng dan Azura perlukan sokongan kerohanian.
Sungguh tepat pilihan Azura untuk bersemuka dengan doktor pakar di unit psikiatri. Azura dan ibunya, Puan Jasmin pasti ingin mengetahui, sebahaya apa penyakit yang berkaitan dengan gangguan kejiwaan itu. Dan kesungguhan Azura untuk memulihkan diri, bukannya berasa aib dan memendam perasaan seorang diri, juga suatu tindakan terbaik untuk membantu diri sendiri. Doktor pakar, Farhana, menggalakkan agar Azura meneruskan aktiviti melukis, sebagai satu wadah untuk menampung kegiatannya. Andai dengan aktiviti melukis itu mampu mengelakkan dirinya daripada perbuatan mencederakan diri, maka, ia suatu alternatif terbaik dan sebagai terapi diri. Sikap positif yang ditunjukkan oleh Azura, rajin makan ubat dan berusaha untuk menyembuhkan diri, mencerminkan keteguhan peribadinya.
Sudah hampir dua tahun, Azura bertarung dengan kemurungan diri yang berterusan. Implikasi daripada penyakit itu sudah tentu menjejaskan kesihatan mental dan fizikal Azura sekali gus. Bayangkan betapa sengsara beban yang ditanggung oleh Azura dalam menjalani rutin kehidupannya dengan penyakit sebegitu. Di mata orang lain, Azura tentu dianggap kurang waras, abnormal dan janggal. Bagaimanakah Azura hendak menjelaskan penyakit rumit yang dihadapinya kepada masyarakat di luar sana? Rasa rendah diri dan kekosongan dalam diri Azura sedikit-sebanyak menggelapkan sudut pandangannya tentang destinasi kehidupan. Jika Azura tidak segera berjumpa dengan ahli psikiatri, ia tentu akan lebih membahayakan dirinya, atau pihak lain.
Selepas berjumpa dengan Doktor Farhana, Azura berhadapan pula dengan doktor Hanna yang membantunya dan kemudian memberikan idea-idea untuk mempelbagaikan hobi sebagai daya perangsang meningkatkan tahap keyakinan diri. Itu langkah seterusnya yang diambil oleh Azura. Dia tidak mahu menyerah begitu sahaja dengan penyakitnya. Azura, seikhlas hati, dengan terbuka menerima hakikat bahawa dirinya menanggung penyakit distimia. Dia mengalami kemurungan hampir setiap hari. selain selera makan, tidur yang terganggu, Azura juga sentiasa berasa gagal untuk memberikan tumpuan. Doktor pakar yang merawatnya sentiasa menghulurkan sokongan moral buat Azura. Hal ini kerana, penyakit yang dialami oleh Azura itu berhubungan dengan tahap emosi dan fikiran. Mental. Jadi, ia perlu dirawat oleh seseorang yang mempunyai keahlian tentang kejiwaan manusia.
Depresi, menurut kata doktor pakar itu, adalah antara penyakit kejiwaan yang mendorong fikiran seseorang hanyut jauh mengelamun, sama ada mengundur ke masa lalu atau terlalu runsing dengan masa depan yang tidak menentu. Akibat daripada kegalauan demikian, fokus si pesakit mudah retak, terganggu dan hilang tumpuan. Kekeliruan itu, brain fog, terjadi akibat terlalu tertekan dan kurang tidur, menyebabkan seseorang gagal untuk fokus serta berfikir dengan jelas. Hal itulah yang menyebabkan dunia dan jalan fikiran Azura gelap, berkabus, dan bengkang-bengkok. Jika berterusan sedemikian, apa yang akan terjadi, sepuluh tahun mendatang? Personaliti Azura sentiasa bercelaru dan kecenderungan untuk mencederakan anggota tubuh badan serta membunuh diri, tentu menjadi lebih kerap.
Saya berkesempatan membaca sebuah buku, tulisan Malik Badri, bertajuk Dilema Ahli Psikologi Muslim. Ia sebuah kajian perbandingan ilmu kejiwaan dari sudut Islam dan Barat (moden) yang baik. Apakah hanya rawatan psikologi moden sahaja yang mampu menyelesaikan masalah mental masyarakat sekarang? Adakah dengan memadukan dengan Islam, suatu yang mustahil? Selain daripada mendapatkan rawatan moden daripada doktor pakar di hospital, tidak menjadi kerugian bagi pesakit untuk menerima bimbingan kerohanian dalam ikhtiar memulihkan penyakit yang dialami. Jangan dilupai akan suatu aspek, bahawa ilmu pengetahuan moden, berasal dari Islam. Bukan bermakna, apabila seseorang itu berpenyakit sebagaimana yang ditanggung oleh Azura, menandakan bahawa kurangnya amalan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Namun, ada beberapa faktor dalaman yang sukar untuk dikawal oleh kelemahan seseorang manusia itu sendiri.
Watak Azura ialah seorang wanita yang sentiasa berfikiran progresif. Setelah selesai urusan di unit psikiatri, Azura mencari buku yang membicarakan tentang penyakit berkaitan mental. Tujuan utamanya sudah tentu ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang punca penyakit itu terjadi ke atas dirinya. Sikap sebegitu memberikan kelebihan psikologi dan mematangkan diri tentang keadaan yang sedang dialaminya, secara rasional. Jika dia mengelak dan menafikan penyakit yang dialaminya, sampai bila dan ke mana dia hendak menyembunyikan diri? Sudah cukup bagus, Azura bersama-sama ibunya tidak mengunjungi ke rumah pawang dan dukun. Walaupun demikian, ada penyakit tertentu (paranormal), yang mungkin gagal dikesan oleh doktor pakar bertauliah di hospital. Perkara itu tidak dapat disangkal.
Azura menyedari bahawa proses penyembuhan untuk penyakit mental adalah secara menyeluruh. Betapa rumitnya mencari faktor dan rawatan yang sesuai kerana puncanya berjulat dan berlapis-lapis, antara genetik, kejiwaan dan sosial. Dan menurut pandangan daripada doktor Qistina, yang sempat Azura dengar ketika singgah ke pusat membeli-belah sempena perasmian Mentari (galeri lukisan), untuk menuju ke fasa penyembuhan mental, pesakit memerlukan persekitaran yang positif dan adanya pihak yang sentiasa menyokong. Jelas, penyakit yang dialami oleh Azura, sememangnya memerlukan kerjasama antara banyak pihak. Memencilkan diri dan menderita dalam diam, hanya menjerumuskan seseorang ke dalam pusaran hitam yang menyakitkan.
Tidak cukup itu, Azura memberanikan diri dan berbual-bual dengan doktor Qistina. Nasihat daripada doktor itu menyedarkan Azura tentang sikap segelintir generasi muda yang berpenyakit sebagaimana dialaminya, lebih gemar mendiagnosis diri sendiri. Sikap sebegitu sangatlah membahayakan. Tanpa bersemuka dengan doktor pakar, seseorang itu akan menyukarkan dirinya untuk menjalani rawatan yang sepatutnya. Hal itu pasti lebih memudaratkan kerana, hanya doktor yang pakar sahaja mempunyai keahlian tentang proses rawatan dan terapi penyembuhan. Bak kata Doktor Hanna, proses penyembuhan bukanlah destinasi, melainkan sebuah perjalanan. Dan tempoh perjalanan itu, sama ada jauh atau singkat, bergantung kepada kesungguhan si pesakit itu untuk terus berfikiran positif dan tidak mudah berputus asa.
Pada penghujung naskhah, Azura melirik wajah di cermin kereta, dia tersenyum. Bukannya mengerutkan wajah dan menangis seperti budak kecil. Tetapi tersenyum dengan sikap seorang wanita dewasa, menandakan bahawa dirinya sudah cukup bersedia untuk mengakui penyakit yang dialami. Ia bukan suatu keaiban. Dunia perubatan sudah moden dan masih wujud masyarakat berpendidikan yang berfikiran terbuka tentang penyakit mental. Azura seharusnya berterima kasih kepada ibunya yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam memberikan semangat. Sokongan moral sebegitu sangat mustahak buat Azura. Penyakit mental yang sedang dilawannya, lambat-laun akan menghilang dan melepaskan cengkaman berbisanya pada diri Azura. Bagaikan kepompong, ia harus berusaha sendiri dalam perjuangan untuk merungkaikan ikatan sengsara, sebelum menjelma sebagai rama-rama yang bebas.
Kembali kepada asas pembinaan karya kreatif. Penulisan genre cerpen sangat mengutamakan cerita, watak, konflik dan seni penceritaan. Memiliki tema yang bagus tidak mendatangkan sebarang makna jika penceritaannya tidak berupaya membangkitkan selera pembaca. Harus ada keseimbangan antara tema dan seni penceritaan.
Watak bernama Azura dilihat seperti tidak hadir sebagai dirinya dalam naskhah itu. Yang hadir dalam naskhah itu hanyalah tulisan tentang nama penyakit dan jenis rawatan yang diberikan kepada pesakit. Suara dan kewujudan Azura hanya tampil secara permukaan dan ia tidak memadai buat menceritakan penyakit mental.
Sebagaimana yang telah disebutkan pada awal ulasan, naskhah “Distimia” kurang menekankan perkembangan watak Azura. Derita penyakit yang dipikul oleh Azura buka kepalang, malahan amat menyeksa jiwa raganya. Lalu di manakah pengarang meletakkan suara dan karakter Azura dalam naskhah? Aspek itu perlu diberikan perhatian untuk menyerlahkan ceritanya dengan berkesan. Jatuh bangun dan simpang-siur emosi yang dialami Azura merupakan bahagian penting untuk menguatkan subjek yang diangkat oleh pengarang. Di situlah letaknya titik kekuatan dan kelemahan sesebuah naskhah. Dahulukan pelukisan karakter Azura, kemudian tema dan subjek, akan kelihatan pada naskhah itu secara sekunder.
Pengarang naskhah telah memilih suatu subjek berat untuk dijadikan idea penulisan. Namun, berisiko. Tiada cerita yang bertumpu kepada Azura. Azura menjadi pusat kepada naskhah itu. Disebabkan penyakit mental yang kompleks dan rumit itu, pengarang memindahkan gejala itu ke dalam bentuk cerpen. Segala jenis rawatan, nama penyakit dan simptom yang datang daripada penyakit itu, telah disampaikan seadanya untuk tambahan maklumat kepada pembaca. Bayangkan apa yang akan terjadi jika Albert Camus menulis novel The Outsider dan membicarakan tentang falsafah eksistenliasme dan absurdisme, tetapi mengetepikan watak utamanya, Mersault, sepanjang penulisan? Novel itu pasti membosankan, tiada daya penarik, kurang artistik dan kering. Jika pembaca tidak mengambil berat tentang watak dalam sesebuah naskhah, maka mereka juga tidak akan mengambil berat tentang insiden yang berlaku ke atas watak itu.