
MIRI: Amanat Tahun 2026 yang disampaikan oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan sebagai langkah besar dalam usaha mereformasi institusi negara serta memperkukuh kebajikan rakyat, kata Ahli Parlimen Miri ,Chiew Choon Man.
Menurut beliau, empat pengumuman utama yang dibuat PM Anwar mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi institusi yang telah lama dinantikan rakyat.
Katanya, antara pengumuman terpenting ialah cadangan pemisahan kuasa antara Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang, bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
“Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun pula merupakan satu langkah bersejarah untuk mengelakkan penumpuan kuasa serta memastikan peralihan kepimpinan yang lebih sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang Ombudsman yang akan mewujudkan sebuah institusi bebas bagi menyiasat aduan rakyat di semua peringkat kerajaan, selain pengenalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang bertujuan membudayakan keterbukaan dan ketelusan pentadbiran.
Mengulas perkembangan ekonomi, beliau berkata prestasi ekonomi negara yang semakin kukuh termasuk pengukuhan nilai ringgit dan peningkatan pelaburan memberi keyakinan terhadap hala tuju pentadbiran semasa.
Katanya, bagi Sarawak, sembilan daripada 13 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah berjaya diputuskan di bawah Kerajaan MADANI, sekali gus menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap keadilan kepada Sabah dan Sarawak.
Dalam aspek kebajikan rakyat, beliau memaklumkan bantuan tunai RM150 akan disalurkan kepada semua murid dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6 dalam tempoh terdekat, selain komitmen baharu kerajaan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui skim pembiayaan yang akan diperincikan kelak.
Beliau menegaskan akan terus memantau pelaksanaan reformasi dan memastikan suara rakyat Miri terus diberi perhatian dalam usaha membina Malaysia MADANI yang berintegriti dan berpaksikan rakyat.
Oleh Liong Chai Ling