Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Alisson tidak gentar dengan keraguan terhadap Brazil menjelang Piala Dunia
  • SUKAN

Alisson tidak gentar dengan keraguan terhadap Brazil menjelang Piala Dunia

Utusan Sarawak 3 hours ago
PENJAGA gol Brazil, Alisson Becker, bercakap kepada media di kem latihan pasukan itu menjelang kempen Piala Dunia 2026 di New Jersey. Foto AFP

MORRISTOWN, Amerika Syarikat: Penjaga gol Brazil, Alisson Becker, menegaskan pada Khamis bahawa keraguan yang menyelubungi pasukan juara dunia lima kali itu mungkin memberi kelebihan kepada mereka menjelang kempen Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.

“Ia sesuatu yang baik apabila ada pihak yang meragui pasukan ini kerana perkara sama pernah berlaku pada masa lalu,” kata penjaga gol Liverpool itu, merujuk kepada skuad Brazil dalam beberapa kejohanan terdahulu yang tidak dianggap sebagai pilihan utama tetapi akhirnya muncul juara.

Penyokong Brazil masih menantikan Selecao menjulang trofi Piala Dunia sekali lagi selepas kali terakhir melakukannya 24 tahun lalu.

Mereka bukan pilihan utama ketika menjuarai Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan, dan situasi yang sama berlaku menjelang edisi 2026 di Amerika Utara.

Perbincangan mengenai calon juara lebih banyak tertumpu kepada juara bertahan Argentina, juara Eropah Sepanyol dan naib juara 2022 Perancis, selain England dan Portugal yang turut disebut sebagai pencabar utama.

“Pasukan sekarang mempunyai ciri-ciri yang berbeza berbanding skuad terdahulu. Tempoh sebelum ini amat sukar buat semua pemain atas pelbagai sebab,” kata Alisson ketika ditemui media di kem latihan Brazil di New Jersey.

“Perkara paling penting ialah bagaimana keadaan kami sekarang, dan kami berharap dapat menterjemahkannya kepada keputusan yang baik menentang Maghribi.”

Skuad kendalian Carlo Ancelotti layak ke Piala Dunia selepas menamatkan kempen kelayakan Zon Amerika Selatan di tangga kelima daripada 10 pasukan, susulan kempen yang tidak menentu sehingga menyaksikan dua jurulatih dipecat sebelum pengendali Itali itu mengambil alih setahun lalu.

Bagaimanapun, Brazil memenangi tiga perlawanan persahabatan terakhir mereka termasuk menewaskan Panama 6-2 dan Mesir 2-1 minggu lalu.

Mereka akan memulakan aksi Kumpulan C menentang Maghribi di Stadium MetLife pada Sabtu.

Pertemuan antara pasukan yang kini menghuni ranking keenam dan ketujuh dunia itu dianggap antara perlawanan paling menarik pada peringkat kumpulan kejohanan 48 pasukan tersebut.

Kedua-dua negara mahu memulakan kempen dengan kemenangan sebelum Brazil berdepan Haiti dan Scotland dalam baki aksi kumpulan.

Brazil menjuarai Piala Dunia terakhir yang berlangsung di Amerika Syarikat pada 1994, namun prestasi mereka dalam edisi-edisi kebelakangan ini kurang memberangsangkan.

Mereka tersingkir di suku akhir dalam empat daripada lima Piala Dunia terakhir, termasuk kekalahan memalukan 7-1 kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia 2014 yang berlangsung di bumi sendiri.

Ini merupakan penampilan ketiga Alisson di pentas Piala Dunia. Penjaga gol berusia 33 tahun itu beraksi dalam setiap perlawanan Brazil pada edisi 2018 di Rusia dan semua kecuali satu perlawanan pada 2022 di Qatar.

Kempen 2018 berakhir dengan kekalahan kepada Belgium di suku akhir sebelum mereka disingkirkan Croatia menerusi penentuan penalti di Qatar.

“Mengenai apa yang berlaku pada masa lalu, dalam bola sepak anda tidak boleh terus mengenang kegagalan,” katanya sebelum memuji impak kehadiran Ancelotti.

“Sejak Ancelotti datang, suasana dalam pasukan berubah sepenuhnya. Beliau mempunyai aura kepimpinan yang kuat dan tidak memberi tumpuan kepada perkara-perkara kontroversi.” – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: RTM raikan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026, himpun komuniti bola sepak di Angkasapuri
Next: Mexico atasi gugup dan kekejangan dalam aksi pembukaan Piala Dunia – Aguirre

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.