TOKYO: Sebuah syarikat pemula Jepun yang disokong oleh Honda Motor Co. melancarkan alat getaran yang dipasang pada kasut untuk membantu golongan cacat penglihatan dalam menentukan arah persekitaran.
Alat yang dibangunkan oleh Ashirase ini dipadankan dengan aplikasi telefon pintar, dipasang pada kaki dan memberikan arahan melalui getaran, lapor Agensi Berita Kyodo.
Ia juga dilengkapi sensor gerakan untuk mengesan kedudukan pengguna dan memberikan isyarat pada masa yang sesuai.
Aplikasi itu turut menyediakan navigasi audio, memilih laluan yang paling mudah diakses untuk golongan cacat penglihatan, membolehkan destinasi ditetapkan dengan pelbagai pilihan carian seperti “tandas terdekat” dan mengeluarkan amaran audio bagi bahaya seperti lintasan kereta api dan persimpangan jalan.
Syarikat itu memaklumkan bahawa penggunaan getaran memastikan pengguna tidak terlepas arahan navigasi walaupun di tempat yang bising.
Model terbaru alat Ashirase seberat 60 gram itu adalah lebih ringan dan lebih kecil berbanding versi terdahulu yang diperkenalkan tahun lepas, menurut syarikat itu.
Alat itu berharga 54,000 yen (AS$370), dengan yuran bulanan asas sebanyak 550 yen.
Selain daripada laman sesawang rasmi syarikat itu, pihaknya juga akan menjual alat itu melalui peruncit peralatan rumah, dengan sasaran jualan tahunan sebanyak 2,200 unit.
Syarikat turut merancang untuk menawarkan alat berkenaan untuk pasaran luar negara termasuk Britain pada tahun depan.– BERNAMA-KYODO