

Oleh: Syabel Hamzah
MATAKU disuluh sinaran pagi, membuatku segera bangun dari ranjang. Aku mencapai tuala yang tersangkut di belakang pintu, bergegas ke bilik mandi. Suasana pagi yang sejuk tidak mematah semangatku untuk segera bersiap.
Sedang aku sibuk mengenakan baju, telefon bimbitku bergetar di atas meja.
“Cop tempat duduk.” Mesej dari Izzati muncul di skrin.
Aku tersenyum kecil. Izzati memang sering terlambat, dan aku sudah terbiasa menjadi penyelamat tempat duduknya. Hari Isnin yang malas, tidak memberi pilihan lain selain bergegas menuju ke kelas.
Setelah hampir 15 minit menunggu, kelas bermula. Dr. Azim berdiri di hadapan, menerangkan sesuatu yang sukar aku fokuskan. Aku perasan pandangannya singgah sebentar padaku, mungkin bertanya keberadaan Izzati. Aku hanya mengangkat bahu tanda aku sendiri tidak pasti. Dalam detik yang sama, pintu kelas dibuka kasar. Izzati muncul dengan nafas tercungap-cungap, mukanya merah dan terus duduk di sebelahku.
“Terima kasih simpankan tempat duduk, bas tadi penuh, terpaksa guna teksi.” katanya sambil cuba menenangkan diri.
Belum sempat aku membalas, pintu sekali lagi dibuka. Kali ini, suasana sunyi berkecai oleh bunyi pintu yang terhentak. Semua mata tertumpu ke arah seorang pelajar perempuan yang masuk lewat. Dia langsung menuju ke tempat duduk di barisan belakang dengan langkah tenang dan wajah yang tidak menunjukkan rasa bersalah. Aku perasan, dia adalah pelajar yang jarang sekali berinteraksi dengan rakan sekelas yang lain.
“Kau kenal dia?” bisik Izzati di sebelahku, matanya mengerling ke arah pelajar perempuan itu.
Aku menggeleng. “Tak, dia tak pernah bercakap dengan aku pun.” jawabku ringkas.
“Serius? Aku dengar cerita dia ada masalah dengan orang-orang kelas kita, free rider katanya.” Izzati berbisik lagi, nadanya perlahan seakan menyimpan gosip hangat.
***
“Korang dah ada tajuk tugasan ke? Dr. Azim nak hantar paling lewat jam 5 petang ni.” tanya Izzati yang duduk di sebelah.
“Eh, ada ke?” Aku sedikit terkejut.
“Kau dah ada kumpulan?” tanya izzati lagi.
“Tak ada, kenapa aku tak tahu pun pasal ni?” Aku terus membuka laptop dan memeriksa laman sesawang bahagian subjek Dr. Azim untuk mendaftar kumpulan tugasan.
Malangnya, semua kumpulan sudah penuh. Perasaan cemas menyelubungi aku. Aku cuba berfikir siapa yang aku boleh ajak, tapi kebanyakan rakan yang lain dah ada kumpulan. Izzati pun kelihatan tidak berminat. Dia pernah berkata yang dia tak mahu sekumpulan dengan aku sebab takut nanti tak buat kerja—katanya aku asyik bercakap!
Aku terus scroll ke bawah senarai kumpulan yang ada. Di bahagian paling bawah, mataku tertancap pada sebuah kumpulan yang baru ada tiga orang ahli. Tanpa berfikir panjang, aku mendaftar diri masuk ke kumpulan itu. Sewaktu mendaftar, aku berasa sedikit lega kerana ada satu nama yang aku kenal—Faizal. Keberadaan Faizal membuat aku yakin untuk menyertai kumpulan tersebut tanpa memandang nama-nama lain.
Selepas tamat kelas pada hari itu, aku bersiap untuk pulang ke bilik, ingin berehat. Namun, sebelum sempat beredar, aku disapa oleh Faizal.
“Haziq, jom!” katanya.
“Eh, pergi mana? Ada kelas lagi kah ?” aku sedikit terkejut.
“Kau baru masuk kumpulan, kan? Kita ada perjumpaan pasal tajuk tugasan sekarang. Sebab jam 5 nanti nak kena hantar dah.” balas Faizal dengan tenang.
“Oh, baiklah,” jawabku mengangguk setuju.
Kami tiba di Student Lounge untuk memulakan perbincangan. Di sana, aku bertemu dengan seorang lagi ahli kumpulan, Iman, yang sedang khusyuk menatap layar laptop mencari artikel sebagai rujukan untuk tugasan kami. Aku, yang baru sahaja menyertai kumpulan ini, terasa agak asing dan tidak begitu faham mengenai tugasan yang sedang dibincangkan.
“Kumpulan kita bukan ada empat orang ke? Siapa seorang lagi?” tanyaku, cuba mendapatkan kepastian.
“Ayu…” jawab Iman dengan kasar. “Dia tu memang selalu lambat. Entah-entah tak datang langsung. Kau tak dengar pasal kumpulan Freddie semester lepas? Ayu langsung tak buat tugasan. Dr. Azim tahu, terus dia gagalkan. Padan muka.”
“Betul tu,” sampuk Faizal. “Kita orang pun dah mula fikir macam kita berdua je yang akan buat tugasan ni. Dah la Dr. Azim nak 35 muka surat. Memang mampuslah. Sebab tahu Ayu takkan buat, tapi sekarang kau dah sertai kumpulan ni, boleh bahagi-bahagi tugas.”
Faizal tersenyum memandang aku, dengan senyuman yang seolah mempunyai niat tertentu—ingin menguji kemampuan aku dalam tugasan ini. Aku hanya tersenyum kelat, cuba untuk tidak memperlihatkan keresahan yang menyelinap. Aku tahu ini mungkin akan jadi tugasan yang berat, tetapi aku tidak ada pilihan lain selain membuktikan aku mampu menyumbang sesuatu dalam kumpulan ini.
***
Hari demi hari berlalu, kami dikejar tarikh akhir menghantar tugasan yang sudah sememangnya rumit. Aku mengambil keputusan untuk duduk bersendirian di perpustakaan, cuba mencari ilham dengan memandang buku-buku yang tersusun rapi di rak. Setelah menghabiskan bahagianku, aku mula memeriksa bahagian yang lain.
Dalam perjumpaan-perjumpaan lepas, kami telah mengagihkan tugasan mengikut kemampuan masing-masing. Bahagian yang paling mudah—abstrak dan pengenalan—telah kami berikan kepada Ayu. Tugasan ini berbentuk kajian dan kami fikir bahagian itu sesuai untuknya kerana tidak memerlukan analisis yang mendalam. Namun, ketika aku memeriksa bahagiannya, aku mendapati dia belum lagi menulis apa-apa. Laman dokumen itu kosong, seolah-olah langsung tidak disentuhnya. Aku mula risau—adakah dia sengaja menguji kesabaran kami, atau adakah dia benar-benar tidak mahu berusaha?
Perasaan marah mula mendidih di dada, tetapi aku cuba mengawalnya. Aku segera menghantar mesej kepadanya untuk bertanya, “Ayu, kenapa bahagian kamu masih kosong? Bukan cukup mudahkah bahagian itu? Kau tak hadir masa perjumpaan pertama, tajuk kita tak la susah sangat. Tahu secara umum pun dah cukup untuk buat. Kenapa tak buat?”
Sehari berlalu. Mesej yang kukirim hanya dibalas dengan dua tanda biru. Tidak ada respon, tidak ada penjelasan.
Malam esoknya, Ayu akhirnya membalas mesejku dengan ringkas, “Dah siap, tolong semak.”
Aku segera membuka dokumen dan membaca bahagiannya. Terus terang, aku hampir tergelak dengan cara penulisannya—susun atur ayatnya seakan masih di sekolah rendah, teruk daripada apa yang aku jangka. Banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Ayu, boleh kamu sunting sedikit ikut format yang saya berikan? Dan jangan lupa letak in text citation untuk setiap maklumat yang kamu guna.” pesanku, sambil mengirimkan beberapa contoh terbaik sebagai panduan.
Dia membalas, “Baik.” dengan singkat, memberi janji bahawa dia akan menyesuaikannya mengikut format yang diminta. Namun, dua hari berlalu tanpa sebarang respon daripadanya. Ketika aku memeriksa dokumen, aku mendapati bahagiannya masih belum diperbaiki. Format yang kuberikan tidak diikuti, dan rujukan yang sepatutnya dimasukkan juga tidak ada. Perasaan kecewa dan hampa menyelubungi diri, kerana waktu semakin suntuk, tetapi Ayu seolah tidak peduli.
Jarum jam sudah menunjuk ke angka 11 malam, dan aku yang kehausan bergegas keluar dari bilik untuk ke kedai serbaneka 24 jam membeli air. Dalam perjalanan pulang, aku terserempak dengan Izzati dan dua kawannya yang sedang berbual di kaki lima. Kami saling menyapa seperti biasa.
“Benar apa yang kau kata, dia memang perempuan yang…” aku berhenti sejenak, rasa geram membara di hati. “…layak dibenci.” sambungku dengan kesal.
“Siapa? Perempuan kat sini ada banyak, banyak juga yang layak dibenci.” balas Izzati, jelas keliru dengan kenyataanku.
“Ayu,” bisikku perlahan ke telinganya.
“Ada apa dengan dia?” tanya Izzati, nampak berminat untuk mengetahui lebih lanjut.
“Kan aku satu kumpulan dengan dia untuk tugasan Dr. Azim tu,” kataku, sambil menghela nafas berat. “Aku memang pantang la dengan orang yang tak buat kerja. Ahli yang lain pun dari awal dah bagi amaran tentang dia, kata dia tak boleh diharap. Aku ingatkan mereka sekadar tak suka padanya… rupanya betul. Dia hanya buat bahagian pengenalan dengan abstrak saja. Itu pun tak sepenuhnya mengikut format. Semudah itu pun dia tak mampu nak buat dengan betul.”
“Ayu tu sebenarnya sama kelas dengan aku dalam elektif Jawi. Aku presiden kelas tu, dan Ayu pula setiausaha. Dia ni memang pendiam, jarang bergaul dengan orang. Aku pun, kalau boleh tak nak ambil peduli sangat.” Izzati mula bercerita panjang, Aku mendengar dengan penuh teliti, sedikit terkejut apabila mengetahui lebih tentang kehidupan Ayu.
Izzati bercerita lagi tentang Yamin, pelajar senior yang bertugas sebagai fasilitator kelas Jawinya. Yamin pernah bertanya pada Izzati tentang Ayu. “Dia kan satu program dengan kau, kenapa kau tak berkawan dengan dia?” Yamin bertanya ingin tahu.
“Eh, bukan la tak nak berkawan,” jawab Izzati. “Tapi kau tengoklah sendiri, dalam kelas pun dia macam tu, apatah lagi di sini. Susah nak dekati dia. Lagipun, dia jarang buat kerja. Dia suka bertangguh dan menyusahkan ahli kumpulan bila tiba bab tugasan berkumpulan.” Izzati seakan mengulang cerita lama yang selalu disampaikan.
Yamin kelihatan tidak begitu puas hati dengan jawapan itu. “Dia tak sama tahun dengan korang kan? Tadi aku borak dengan dia, dia kata dia dah tahun keempat. Mungkin pelajar ulangan kot.”
“Ya, mungkin,” kata Izzati, mengangguk. “Program kami tiga tahun je sebenarnya. Patutlah… dari awal pun, dalam kalangan budak kelas aku, ramai yang kata dia jenis yang tak buat kerja. Tapi dah tahun 4 kot, takkan tak faham lagi,”
“Tapi kau tahu tak,” Yamin menambah, “dia sebenarnya sedang bekerja. Dia kerja di rumah orang tua sebelah universiti kita. Syif malam kerja sampai jam 8 pagi. Jadi, balik kerja, dia terus datang kelas. Mungkin sebab tu dia selalu lambat.”
Mata Izzati terbuntang, terkejut dengan kata-kata Yamin. “Oh… patutlah kalau kelas mula jam 8, dia sampai jam 9…” balas Izzati, nada suaranya berubah, lebih lembut dan bersimpati.
***
Cerita itu membuat aku diam, rasa ingin tahu yang mula bercambah dalam hati. Izzati juga menyebut tentang melihat gambar suami Ayu di status WhatsApp baru-baru ini, dan dia mengesyaki Ayu mungkin sedang mengandung.
“Aku nampak dia ada baby bump. Tapi sebab badan dia besar, tak berapa nampak sangat. Suami dia pun selalu tunggu dia kat lobi fakulti setiap hari,” Izzati terus berkongsi dan aku makin lama makin bersimpati dengan keadaan Ayu. Ternyata hidupnya tidak semudah yang disangkakan.
“Baru-baru ini, ibunya meninggal dunia. Dia pun bukan orang yang senang,” kata Izzati.
“Eh, macam mana kau tahu?” tanyaku, sedikit hairan.
“Dalam channel fakulti ada siarkan tentang kutipan derma, itu ibu Ayu… Kesian jugak sebenarnya.”
Aku sekali lagi tergamam, mendengar kisah Ayu yang selama ini tidak pernah aku ketahui. Rasa simpati perlahan menyentuh naluri lelakiku, mengganti rasa marah dan kecewa yang dulu menghantui setiap kali aku mendengar nama itu.
“Kalau boleh, fahamilah keadaannya. Daripada mengeji, lebih baik kita menghulurkan bantuan. Pasti sukar baginya mengawal emosi apabila satu kelas membencinya tanpa mengetahui apa yang dia lalui, lebih lagi dia sekarang dah berbadan dua.” kata Izzati, dengan suara yang sedikit lembut, seolah-olah meminta aku untuk memberi peluang kedua kepada Ayu.
Aku menatap wajah Izzati dengan keraguan kerana dia yang membuka cerita tentang Ayu kepadaku, kemudian dia pula yang meminta aku bersimpati terhadap Ayu. Aku terdiam, merenung ke arah lantai. Hati yang dulu keras kini sedikit cair, terketuk oleh cerita yang membuka mataku kepada realiti kehidupan seorang Ayu.
Keesokan harinya, aku tekad untuk membantu Ayu. Aku mula menghubunginya, memujuknya agar bersama-sama menyiapkan tugasan yang masih berbaki. Kami berjumpa di perpustakaan dan buat pertama kalinya, aku dapat melihat wajah letihnya lebih dekat, wajah seorang yang berjuang di sebalik diamnya. Aku membantu menyusun bahagiannya mengikut format, mengajar mana yang perlu diubah dan disunting. Ayu, dengan rasa syukur yang terpancar di wajahnya, memberi sepenuh komitmen. Bahagian Ayu kini siap sepenuhnya.
***
Sebelum tarikh akhir penghantaran tugasan, aku memaklumkan kepada Faizal dan Iman, “Ayu dah siapkan bahagiannya. Tugasan kita lengkap. Kita dah boleh hantar.”
Mereka sedikit terkejut, tapi aku tidak kisah. Melihat Ayu tersenyum buat pertama kalinya setelah tugasan selesai, aku merasakan satu kelegaan yang sukar digambarkan. Ternyata, menilai seseorang dari luaran memang tidak adil. Setiap orang ada cerita masing-masing, di sebalik mata yang terlihat tenang serta kata-kata yang tidak terungkap, ada jeritan yang meraung penat, dia letih tanpa rehat. Aku belajar memberi ruang untuk memahami, kerana ia lebih bermakna daripada sekadar menghakimi.