
LIMBANG: Cuaca panas dan kering di utara Sarawak menyaksikan pasukan Bomba dan Penyelamat Limbang berdepan insiden kebakaran belukar yang hampir mengancam kawasan perumahan di Rangau, pagi tadi.
Kejadian itu melibatkan kebakaran di kawasan padang bola sepak seluas hampir satu hektar yang terletak berhampiran perumahan penduduk.
Menurut Ketua Zon 7 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang, Ramlan Marajan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.30 pagi dan segera menggerakkan dua jentera bersama sepasukan anggota ke lokasi, sekitar tujuh kilometer dari Balai Bomba Limbang.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran belukar berhampiran kawasan perumahan. Kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka untuk membuka kawasan belakang rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran untuk memadam kebakaran sepenuhnya dalam tempoh sekitar 15 minit.
Tambah Ramlan, tindakan pantas anggota berjaya mengelakkan api daripada merebak ke rumah penduduk dan kawasan sekeliling.
Beliau turut menasihati orang awam agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
“Keadaan cuaca seperti ini meningkatkan risiko kebakaran merebak dengan pantas dan menyukarkan kawalan, seterusnya boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda serta alam sekitar,” ujarnya.
Oleh Adeng Edrus