SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau berpeluang menyertai perayaan Solstis Musim Sejuk yang diadakan di Paradom di sini, kelmarin.
Acara dianjurkan oleh Kapitan Ting Siew Kiew dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Parah di sini bagi mengeratkan hubungan sesama penduduk setempat melalui aktiviti membuat ‘tang yuan’ bersama.
Sebagai salah satu tradisi penting dalam kalendar masyarakat Cina, perayaan Solstis Musim Sejuk bukan sahaja menandakan perhimpunan keluarga tetapi juga membawa simbolik tenaga positif untuk menyambut Tahun Baharu.
Pada pagi tersebut, penduduk setempat diberikan peluang bersama membuat dan menikmati ‘tang yuan’ yang dikenali sebagai simbol kesejahteraan dan keharmonian.
Lau yang turut hadir meluahkan rasa gembira melihat semangat gotong-royong kalangan penduduk.
“Saya sangat terharu melihat semua warga yang mengambil bahagian dalam aktiviti ini.
“Perayaan ini bukan sekadar tradisi, tetapi juga peluang untuk kita semua bersama menikmati detik indah sambil menyatukan hati,” jelasnya.
Solstis musim sejuk, yang menandakan hari terpendek dalam setahun telah lama menjadi perayaan yang sangat dihargai oleh masyarakat Cina.
Selain daripada makna spiritualnya, ia juga menjadi detik untuk merenung dan menyelesaikan sebarang konflik yang timbul sepanjang tahun dengan harapan agar tahun baharu bakal tiba membawa kemakmuran dan keharmonian kepada semua.
“Semoga perayaan ini menjadi titik permulaan untuk kita semua menyelesaikan sebarang perbezaan dan mencipta masyarakat lebih bersatu.
“Kita semua berharap agar setiap konflik atau salah faham berlaku sepanjang tahun ini dapat diselesaikan dengan perhimpunan dan kita bergerak bersama untuk membina sebuah masyarakat lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.
Hadir sama, Penghulu Yong King Sung, Penghulu Wong Ung dan Kaunselor Justin Wong.
Oleh Tarani Lanting