KUCHING: Aksi ‘wheelie’ seorang lelaki dan perempuan warga tempatan masing-masing berusia 18 dan 17 tahun membawa padah setelah kedua-dua mereka telah ditahan di simpang masuk Jalan Kampung Pulo Ulu, Kuching.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa dalam kenyataan media berkata kes akan dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1)APJ 1987 dan Seksyen 111 APJ 1987.
”Bagi kesalahan Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan boleh didenda RM5,000 – RM15,000 dan penjara tidak kurang dari 5 tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga 5 tahun.
“Bagi Seksyen 111 APJ 1987 iaitu bersubahat melakukan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan boleh digantung atau diendoskan lesen serta kehilangan kelayakan daripada mendapatkan lesen,” katanya.
Operasi Ops Samseng Jalanan telah dijalankan bermula 4.30 petang di kawasan Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhamad Salahuddin, Jalan Bako, Jalan Gambier, Jalan Stadium, Jalan Tunku Abdul Rahman Yakuub dan sekitar kawasan Masja,Petra Jaya berakhir pukul 1 pagi semalam.
Operasi ini bertujuan untuk mencegah dan membanteras samseng jalanan yang memandu dan menunggang secara melulu dan merbahaya.
“Sebanyak 32 saman telah dikeluarkan oleh BSPT atas pelbagai kesalahan melibatkan 23 penunggang motosikal di mana tujuh saman ialah tiada lesen memandu, yang tidak memakai topi keledar sebanyak dua saman dan satu saman ialah tidak mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Tiada cermin sisi sebanyak empat saman, ubah suai ekzos sebanyak dua saman, ubah suai struktur peralatan tiga saman, gagal tunjuk lesen satu saman, tiada nombor pendaftaran empat saman, nombor plat tidak ikut peraturan sebanyak empat saman, hon tidak berfungsi sebanyak tiga saman dan LKM tamat tempoh sebanyak satu saman,” jelasnya.
Orang awam boleh menyalurkan maklumat jika aktiviti samseng jalanan dikesan di kawasan masing-masing dan pihak polis turut menasihatkan agar semua pengguna jalanraya sentiasa mematuhi undang-undang jalanraya yang telah ditetapkan.
Oleh ASYRAF HALIM