KOTA BHARU: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kelantan menyarankan supaya orang ramai menetapkan matlamat, hasrat dan aspirasi dengan memahami situasi semasa kewangan untuk membuat keputusan lebih baik pada masa depan.
Pemangku Ketua AKPK cawangan negeri Siti Suhaila Ab Hamid berkata, menganalisis aliran tunai adalah penting untuk memberi gambaran tahap pendapatan, perbelanjaan dan keperluan gaya hidup agar matlamat dan kedudukan kewangan berada dalam keadaan selesa.
“Apabila kita membuat senarai semak kewangan seperti aset, liabiliti serta perbelanjaan, ia dapat membantu menjejak perjalanan kewangan dengan melihat semula perkara perlu ditambah baik dan telah dilakukan sebelum ini.
“Amalan kewangan yang baik termasuk mengenal pasti keperluan pinjaman sebelum membuat pinjaman, berbelanja mengikut belanjawan, melabur serta meningkatkan kewangan untuk tahun ini dan seterusnya,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabat AKPK Kelantan di sini, hari ini.
Siti Suhaila berkata, AKPK juga boleh membantu orang ramai yang mempunyai masalah keberhutangan melalui bantuan penstrukturan semula pinjaman atau pembiayaan institusi kewangan yang berada di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).
“Melalui penstrukturan ini, bayaran balik pinjaman dapat dilakukan dan ia akan memberi nafas baharu serta ketenangan minda kepada peminjam kerana kedudukan kewangan yang lebih baik.
“Peminjam perlu proaktif untuk mengurus kewangan khususnya sebelum membuat komitmen kewangan bagi mengelakkan masalah kewangan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata kehilangan kawalan ke atas hutang akibat keberhutangan serius boleh menjejaskan rekod kredit yang boleh memberi tekanan kepada peminjam termasuk tindakan undang-undang.
“Oleh itu, peminjam dinasihatkan untuk berunding terus dengan institusi kewangan yang sah atau datang ke AKPK sekiranya menghadapi masalah kewangan yang tidak terurus agar kewangan akan menjadi lebih baik,” katanya.
AKPK ialah agensi milik penuh BNM yang ditubuhkan pada April 2006 untuk membantu individu mengawal kedudukan kewangan mereka termasuk memanfaatkan fasiliti kredit secara bijak.
Sejak penubuhannya sehingga Disember tahun lepas, seramai 1.2 juta individu telah mendapatkan khidmat nasihat AKPK.
Daripada jumlah itu, lebih 400,000 individu berjaya mengawal kewangan mereka berjumlah RM2.4 bilion untuk tempoh maksimum 10 tahun penyertaan dalam Program Pengurusan Kredit. – Bernama