KUCHING, 6 Oktober: AirBorneo berpotensi membuka laluan penerbangan terus dari Kuching ke Korea berbanding Bangkok susulan potensi permintaan penumpang yang dilihat lebih tinggi bagi destinasi berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata perkara itu bagaimanapun masih perlu dikaji sebelum keputusan mengenai keutamaan laluan dibuat.
“Bangkok memang sudah ada sekarang, tetapi kita perlu kaji jumlah permintaan dari Bangkok.
“Tetapi Korea nampaknya lebih daripada Bangkok. Jadi, kita bandingkan kedua-duanya. Lebih baik kita pergi ke Korea berbanding Bangkok. Kita lihat keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hotel The Everly Lhesson Kuching, di sini, hari ini.
Tambah beliau, perkara itu turut mengambil kira persediaan meningkatkan ketersambungan udara menjelang Sukan SEA 2027 di Sarawak.
“AirBorneo akan menambah penerbangan mengikut keperluan bagi melengkapi perkhidmatan syarikat penerbangan lain.
“AirBorneo ketika ini masih belum mempunyai banyak pesawat dan sedang mengembangkan operasi secara berperingkat.
“Sekarang kita ada dua, tiga, jadi kita terbang ke Jakarta dulu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata ketersambungan udara merupakan antara aspek penting dalam usaha Sarawak menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke negeri ini.
Untuk rekod, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 pada 18 hingga 29 September 2027 dengan Sarawak, Pulau Pinang dan Johor sebagai tuan rumah bersama Kuala Lumpur, manakala upacara pembukaan akan berlangsung di Kuching.
AirBorneo sebelum ini menyasarkan pembukaan dua hingga tiga laluan berjadual ke destinasi ASEAN menjelang awal 2027, selain merancang penerbangan sewa khas ke beberapa destinasi yang belum mempunyai laluan tetap bagi membawa atlet, penyokong dan pelancong sempena Sukan SEA 2027.
Oleh Masrin Affirah




