
KUCHING: AirBorneo sedang mempergiat usaha penyelenggaraan serta menyemak semula rantaian bekalan komponen bagi meningkatkan kebolehpercayaan operasinya susulan gangguan penerbangan yang berlaku di Sarawak dan Sabah.
Syarikat itu memaklumkan pihaknya sedang memberikan kemas kini berhubung gangguan yang berlaku serta langkah-langkah pemulihan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kembali stabil.
“Pasukan teknikal bersama rakan penyelenggaraan kini bekerja secara intensif untuk mempercepatkan kerja baik pulih pesawat yang terjejas.
“Matlamat utama adalah untuk mengembalikan pesawat ke operasi secepat mungkin, namun tetap mengikut piawaian penuh syarikat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa keselamatan penumpang dan kru kekal sebagai keutamaan utama sepanjang tempoh ini.
“Sebarang pesawat yang memerlukan pemeriksaan teknikal akan dikeluarkan daripada perkhidmatan terlebih dahulu.
“Ia hanya akan dikembalikan ke operasi selepas jurutera syarikat berpuas hati bahawa pesawat tersebut benar-benar selamat untuk terbang,” jelasnya
Bagi memperkukuh ketahanan operasi jangka panjang, AirBorneo sedang menilai semula pengaturan penyelenggaraan dan bekalan alat ganti.
“Ini termasuk usaha mendapatkan rakan pembekal tambahan dan alternatif. Langkah ini bertujuan memastikan akses lebih pantas serta lebih stabil kepada komponen penting yang diperlukan dalam operasi penerbangan,” tambahnya

Dalam masa sama, AirBorneo turut meneruskan pelaburan dalam pembaharuan armada dengan pengenalan pesawat generasi baharu secara berperingkat.
Usaha tersebut dijangka dapat meningkatkan konsistensi serta kebolehpercayaan perkhidmatan dalam jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Airways Sdn Bhd, Megat Ardian Wira berkata syarikat memahami kesan gangguan terhadap penumpang dan sedang berusaha keras untuk memulihkan keadaan.
“Kami amat memahami betapa pentingnya hubungan ini kepada komuniti. Pasukan kami bekerja tanpa henti bersama rakan penyelenggaraan untuk mempercepatkan kerja baik pulih.
“Pada masa yang sama, kami sedang menilai semula rantaian bekalan dan mencari rakan alternatif supaya kami dapat memberikan sambungan yang lebih boleh dipercayai kepada rakyat Sarawak dan Sabah.
“AirBorneo akan terus memberikan kemas kini dari semasa ke semasa berhubung perkembangan pemulihan operasinya,” ujarnya.
Untuk rekod, kenyataan itu dikeluarkan susulan gangguan penerbangan yang bermula sekitar awal Jun 2026, apabila beberapa pesawat AirBorneo terpaksa dikeluarkan daripada operasi serentak bagi tujuan penyelenggaraan serta baik pulih teknikal tidak berjadual.
Situasi itu turut menyebabkan kekangan operasi apabila kapasiti armada menjadi terhad, ditambah dengan kelewatan bekalan komponen yang menjejaskan tempoh baik pulih pesawat.