
PUTRAJAYA: AirBorneo boleh mengemukakan permohonan untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi laluan Kuching–Sibu, Kuching–Miri dan Kuching–Bintulu secara komersial memandangkan laluan berkenaan tidak dikategorikan sebagai Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu susulan pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi AirBorneo yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lepas.
Menurut MOT, laluan seperti Kuching–Sibu dan Kuching–Miri merupakan penerbangan antara bandar dan tidak memenuhi kategori perkhidmatan luar bandar, sekali gus tidak wajar menerima subsidi kerajaan.
“Justeru, penerbangan laluan-laluan tersebut tidak wajar menerima subsidi kerana ia melibatkan dua bandar seperti mana-mana penerbangan antara bandar di Semenanjung,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berhubung ketiadaan perkhidmatan penerbangan AirBorneo bagi laluan Kuching–Sibu, Kuching-Miri dan Kuching-Bintulu yang didakwa berkait dengan perjanjian dimeterai Kerajaan Persekutuan pada 2019.
MOT menjelaskan berdasarkan semakan semula RAS oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 2017, laluan berkenaan tidak lagi memenuhi definisi obligasi perkhidmatan awam (PSO) memandangkan laluan tersebut turut dioperasikan secara bersama oleh MASwings dengan AirAsia, Malaysia Airlines Bhd (MAB) atau kedua-duanya.
“Perubahan status laluan-laluan tersebut sebagai laluan komersial akan lebih menggalakkan penglibatan syarikat penerbangan tempatan untuk beroperasi dan seterusnya memberi pengguna penerbangan di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak lebih banyak pilihan penerbangan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, perubahan status laluan berkenaan kepada laluan komersial bertujuan menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat penerbangan tempatan dan memberi pengguna lebih banyak pilihan penerbangan.
MOT memaklumkan pada masa ini, AirAsia mengendalikan laluan Kuching–Miri sebanyak 46 kali seminggu, Kuching–Bintulu (38 kali seminggu) dan Kuching–Sibu (37 kali seminggu).
-Bernama