
KUALA LUMPUR: AirAsia hari ini menyatakan ia membangunkan prosedur operasi standard (SOP) yang dipertingkat bagi peranti kerusi keselamatan kanak-kanak (CRD) yang diluluskan secara perubatan untuk kegunaan di dalam pesawat.
Selain itu, pihaknya turut menyerahkan SOP peranti itu kepada pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan kelulusan.
Langkah berkenaan diambil susulan semakan semula ke atas keadaan di sebalik kegagalan sebuah keluarga untuk menaiki penerbangan AK1776 dari Singapura ke Kuching pada 26 Mei, 2026.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan semakan tersebut mengenal pasti peluang untuk memperkukuh proses sedia ada berkaitan penilaian CRD yang diluluskan secara perubatan dan keperluan perjalanan khusus yang lain.
Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X Kapten Saravanan Subramaniam memohon maaf kepada keluarga terbabit atas kesulitan yang berlaku sambil menambah keputusan berkenaan dibuat berdasarkan keperluan keselamatan dan prosedur operasi yang diguna pakai berkuat kuasa pada masa itu.
“Walaupun kami sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan dan menyokong semua tetamu sebaik mungkin, terdapat situasi apabila pertimbangan keselamatan dan operasi akan menentukan pilihan yang tersedia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata insiden berkenaan menyerlahkan peluang bagi syarikat penerbangan itu untuk mempertingkatkan prosesnya dan AirAsia tetap komited untuk memastikan dasarnya terus berkembang bagi memenuhi keperluan tetamu.
AirAsia menggalakkan para tetamu untuk merujuk halaman sokongan mereka bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keperluan perjalanan serta panduan berkaitan keperluan perjalanan khusus. – Bernama