KUCHING: Airasia membuka laluan penerbangan baharu antara Singapura dan Sibu dengan perhentian lebih kerap di Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata Airasia Berhad akan mengadakan perkhidmatan udara empat kali seminggu secara terus antara Singapura dan Sibu, bermula 16 Disember ini.
“Pembukaan laluan baharu antara Singapura dan Sibu ini akan mengurangkan jarak perjalanan untuk menjalankan perniagaan, terutama apabila membawa masuk kargo dari luar negara.
“Airasia juga akan meningkatkan operasi penerbangan mereka antara Singapura dan Miri daripada empat kali seminggu kepada lima kali seminggu mulai bulan ini,” katanya dalam kenyataan media.
Baru-baru ini, Lee melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran bertujuan membincangkan kerjasama dalam hal pengangkutan dan pembukaan laluan penerbangan baharu antara Singapura dan Sarawak.
Sementara itu, penerbangan Scoot Tigerair Pte. Ltd juga telah meningkatkan operasi penerbangan dari Singapura ke Miri dari dua kali seminggu kepada tiga kali seminggu mulai bulan ini.
Lee merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Singapura, Airasia Berhad dan Scoot Tigeraire Pte. Ltd atas keyakinan mereka terhadap Sarawak.