
LIMBANG: Tiga lagi kawasan yang dinaiki air di daerah ini telah dipantau oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang hari ini susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Bonnie Madisun berkata, pemantauan dilakukan di Kampung Pengkalan Madang, Kampung Medait, dan Kampung Pengkalan Jawa bermula 10.50 pagi hingga 2.15 petang.
“Hasil pemantauan mendapati ketiga-tiga kawasan berisiko banjir tersebut menunjukkan paras air berada pada tahap normal dengan trend air menahan.
“Di Kampung Pengkalan Madang dan Kampung Medait, keadaan adalah terkawal. Manakala di Kampung Pengkalan Jawa, paras air naik setinggi tiga kaki dari paras jalan raya, namun masih dalam keadaan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, APM Limbang menasihati penduduk kampung agar sentiasa peka, berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Adeng Edrus