Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Air mata iringi berakhirnya impian Piala Dunia Ronaldo
  • SUKAN

Air mata iringi berakhirnya impian Piala Dunia Ronaldo

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo, memberikan reaksi selepas pasukannya tewas dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 antara Portugal dan Sepanyol di Stadium Dallas, Arlington, pada 6 Julai 2026. Foto AFP

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Cristiano Ronaldo mengharungi perlawanan terakhirnya di pentas Piala Dunia dengan penuh kepayahan apabila impiannya untuk menjulang trofi paling berprestij dalam bola sepak berkecai selepas Portugal tewas 0-1 kepada Sepanyol pada perlawanan 3.00 pagi tadi (waktu Malaysia), sekali gus menyaksikan beliau menahan sebak.

Kapten Portugal berusia 41 tahun itu, yang dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman, berkata beliau akan mengambil sedikit masa untuk memikirkan hala tuju kariernya selepas ini.

Sepanjang karier gemilang bersama beberapa kelab ternama Eropah, Ronaldo memenangi hampir semua kejuaraan utama, selain membawa negaranya muncul juara Eropah.

Namun, di sebalik koleksi trofinya yang begitu banyak, pingat juara Piala Dunia tidak pernah menjadi miliknya. Beliau juga gagal memberi impak besar ketika Portugal tersingkir pada pusingan 16 terakhir di Texas.

REAKSI kecewa Cristiano Ronaldo sambil menahan sebak. Foto AFP

“Itulah bola sepak, itulah kehidupan seorang pemain bola sepak,” katanya sambil bergelut menahan kekecewaan.

“Kadangkala kita menang, kadangkala kita kalah, dan kita perlu meneruskan kehidupan.”

Ronaldo, penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki, berkata beliau meninggalkan pentas Piala Dunia dengan hati yang tenang.

“Hakikatnya, kejuaraan terbesar yang saya menangi bersama pasukan kebangsaan ialah pada 2016 (Euro), yang bagi saya sama pentingnya dengan Piala Dunia,” katanya.

Pencapaian terbaik Ronaldo di Piala Dunia kekal mara ke separuh akhir 20 tahun lalu.

Persembahannya dalam aksi hambar itu

menggambarkan perubahan ketara yang dialami pemain veteran berkenaan.

Jika dahulu beliau digeruni pihak lawan, kini beliau sekadar bayangan kepada kehebatannya suatu ketika dahulu.

Beliau hanya melakukan tiga percubaan ke arah gol dan lebih banyak terasing ketika mengetuai jentera serangan Portugal yang gagal memberi ancaman kepada lawan.

Ronaldo menjaringkan tiga gol pada kejohanan di Amerika Utara itu dalam penampilan terakhirnya di Piala Dunia, iaitu dua gol ketika Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 dan satu gol menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Croatia pada pusingan 32 terakhir.

Beliau juga gagal mencatat sebarang bantuan jaringan sepanjang kejohanan. Dalam satu situasi ketika menentang Sepanyol, Ronaldo jelas menunjukkan rasa kecewa apabila mengangkat kedua-dua tangannya selepas hantaran rakan sepasukan tersasar.

Selepas wisel penamat ditiup, beliau meninggalkan padang di Stadium Dallas Cowboys seorang diri.

Daripada Miskin Kepada Bilionair Bola Sepak

Ronaldo dibesarkan dalam keluarga miskin di Pulau Madeira bersama bapanya yang mengalami ketagihan alkohol sebelum muncul sebagai bintang bola sepak bertaraf dunia.

Keghairahannya mencipta rekod, keazaman tinggi untuk terus memperbaiki diri serta dedikasi luar biasa terhadap sukan itu membolehkannya kekal bersaing sehingga usia 40-an.

Di luar padang, beliau turut mencipta fenomena apabila menjadi pemain bola sepak pertama bergelar bilionair. Beliau memiliki 671 juta pengikut di Instagram, manakala gaya sambutan ikonik “Siuuu!” terus ditiru kanak-kanak di seluruh dunia.

Namun, tiada pengakhiran indah ala Hollywood buat Ronaldo di pentas Piala Dunia.

Beliau memulakan karier profesional bersama Sporting Lisbon sebelum mencipta nama sebagai ikon bola sepak dunia bersama Manchester United.

Selepas enam tahun bersama kelab England itu dan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, beliau terus menyinar bersama Real Madrid dengan memenangi empat lagi gelaran Liga Juara-Juara.

Kariernya kemudian diteruskan bersama Juventus sebelum kembali seketika ke Manchester United, seterusnya menjadi tonggak utama Al Nassr dalam usaha Arab Saudi memperkukuh kedudukan bola sepak negara itu di pentas antarabangsa.

Antara pencapaian peribadinya ialah memenangi lima anugerah Ballon d’Or.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, persepsi terhadap Ronaldo mula berubah.

Dengan kemampuan fizikal yang semakin menurun serta kehilangan kepantasan dan kelincahan yang pernah menjadi kelebihan utamanya, beliau beralih daripada posisi pemain sayap kepada penyerang tengah.

Ronaldo dan jurulatih Portugal, Roberto Martinez, turut dikritik kerana dianggap memanjangkan karier antarabangsanya melepasi tempoh yang sepatutnya.

Martinez melakukan dua pertukaran berganda pada penghujung perlawanan ketika Portugal memburu gol penyamaan menentang Sepanyol, namun Ronaldo terus dikekalkan di atas padang.

Sehari sebelum perlawanan itu, Ronaldo menegaskan:

“Saya tidak akan menjadi lebih atau kurang Cristiano Ronaldo hanya kerana memenangi Piala Dunia.”

– AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Sepanyol tewaskan Portugal 1-0, tamatkan perjalanan terakhir Ronaldo di Piala Dunia
Next: Martinez akhiri khidmat bersama Portugal selepas tersingkir di Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.