Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • AI perlu dimanfaatkan secara bijak, masyarakat jangan mudah terpengaruh maklumat palsu
  • TEMPATAN

AI perlu dimanfaatkan secara bijak, masyarakat jangan mudah terpengaruh maklumat palsu

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Amar Fadillah Yusof menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil Besar di Kuching, hari ini.

PETRA JAYA: Masyarakat perlu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengelakkan diri daripada mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang semakin berleluasa di pelbagai platform digital.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perkembangan pesat teknologi AI membawa pelbagai manfaat, namun pada masa sama menuntut masyarakat supaya lebih berwaspada dan bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat.

Menurut beliau, usaha meningkatkan literasi digital dan pemahaman terhadap teknologi baharu itu penting bagi memastikan keharmonian serta perpaduan masyarakat terus terpelihara.

“Teknologi AI boleh memberi banyak manfaat jika digunakan dengan betul, namun masyarakat perlu berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan.

“Kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan supaya dapat menilai sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya,” katanya.

DATUK Amar Fadillah Yusof menandatangani plak perasmian Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil Besar pada majlis perasmian surau berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil Besar, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petra Jaya tersebut berkata, surau dan masjid perlu terus diimarahkan serta diperkasakan sebagai pusat pembangunan komuniti yang bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berperanan membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan bersatu padu.

Katanya, cabaran utama selepas sesebuah surau atau masjid dibina ialah memastikan institusi itu terus dihidupkan dengan pelbagai program yang mampu menarik penyertaan masyarakat setempat.

“Bukan sahaja kita mahu melihat surau dan masjid yang cantik serta selesa, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita menghidupkan rumah Allah ini dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Selain solat berjemaah, surau dan masjid perlu menjadi tempat pelaksanaan kelas agama, pengajian al-Quran, program pembangunan keluarga dan aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.

RUANG solat utama Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil Besar yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan jemaah dan aktiviti komuniti.

Beliau berkata, surau dan masjid juga boleh dijadikan platform untuk memperkukuh pendidikan agama, pembangunan keluarga serta menangani pelbagai cabaran semasa termasuk pengaruh media sosial, penyalahgunaan dadah dan masalah sosial dalam kalangan generasi muda.

Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar terus memelihara keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi asas kepada kestabilan serta pembangunan Sarawak.

Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil Besar yang mula dibina pada 2020 itu siap dibangunkan dengan peruntukan berjumlah RM2.6 juta bagi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada penduduk setempat.

Surau berkeluasan 818.5 meter persegi itu dilengkapi pelbagai kemudahan untuk kegunaan jemaah serta aktiviti kemasyarakatan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan komuniti di kawasan berkenaan.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Jentera parti tunjang kekuatan PBB di peringkat akar umbi
Next: Budaya Kayan perlu diperkasa sebagai pemangkin ekonomi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.