AI jadi tumpuan hari kedua Minggu Kemahiran Masa Depan AZAM 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kecerdasan buatan (AI) menjadi tumpuan pada hari kedua penganjuran Minggu Kemahiran Masa Depan AZAM 2026 apabila lebih 150 peserta menyertai dua sesi perkongsian yang memberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi AI serta aplikasinya dalam dunia pekerjaan dan perniagaan.

Program anjuran bersama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 itu berlangsung dari 23 hingga 25 Julai dengan mengetengahkan pembangunan kemahiran masa depan dalam bidang komunikasi strategik, kepimpinan, AI dan kreativiti digital.

AZAM dalam kenyataan memaklumkan, sesi pertama bertajuk Memperkasa Kerjaya dalam Era AI: Perspektif Landskap AI dan Tenaga Kerja Masa Depan Singapura disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Makmal AI ANCHR Singapura, Soh Wan Wei.

Beliau mengupas trend pembangunan AI, perubahan keperluan tenaga kerja global serta kemahiran baharu yang perlu dikuasai bagi memastikan individu kekal berdaya saing.

MINGGU KEMAHIRAN MASA DEPAN AZAM 2026… Poster promosi Minggu Kemahiran Masa Depan AZAM 2026 yang berlangsung di Kuching dari 23 hingga 25 Julai, menampilkan pelbagai program berkaitan kecerdasan buatan (AI), komunikasi strategik, kepimpinan dan kreativiti digital.

Menurut kenyataan itu, program diteruskan menerusi sesi Bekerja dengan Lebih Bijak Menggunakan AI untuk Profesional, Perniagaan dan Produktiviti Harian yang dikendalikan oleh Pengasas Ibrandium merangkap Jurulatih Bertauliah HRD Corp, Afiq Khatem.

Beliau berkongsi penggunaan pelbagai platform AI bagi meningkatkan produktiviti organisasi, mempercepatkan proses kerja serta memperkukuh kecekapan operasi harian.

“Kedua-dua sesi turut membuka ruang interaksi antara peserta dan penceramah menerusi sesi soal jawab yang membincangkan cabaran, peluang serta perkembangan semasa AI yang semakin mempengaruhi sektor pendidikan, perniagaan, industri dan perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, penguasaan AI bersama kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kreativiti digital merupakan kompetensi penting dalam melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya tahan, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 dan ekonomi digital.

Beliau berkata, menerusi Minggu Latihan Kebangsaan, AZAM komited memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada latihan berkualiti yang memenuhi keperluan industri kerana AI bukan lagi sekadar teknologi masa depan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan dunia pekerjaan.

Program itu akan melabuhkan tirainya esok dengan bengkel Adobe Illustrator dan Photoshop: Panduan Mudah untuk Pemula – Menghasilkan Reka Bentuk dengan Adobe Secara Mudah yang dikendalikan oleh Pegawai Komunikasi Kreatif dan Penjenamaan AZAM Sarawak, Jeffery Sandom.

Semua 50 tempat yang ditawarkan bagi bengkel berkenaan telah dipenuhi sebelum pelaksanaannya.