
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh risikan, siasatan dan pemantauan aktiviti ekstremisme di ruang siber, sekali gus menandakan fasa baharu dalam usaha negara membanteras keganasan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata langkah itu diambil susulan evolusi ancaman pengganasan yang kini beralih sepenuhnya ke platform dalam talian.
“Kalau dahulu kumpulan pengganas pergi ke Afghanistan atau Selatan Filipina untuk latihan fizikal, sekarang semuanya dilakukan secara digital, belajar buat bom, guna senjata api dan merekrut ahli baharu melalui internet,” katanya pada sidang media selepas menghadiri satu majlis bersama pengamal media di sini, hari ini.
Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM telah melangkah ke fasa baharu dengan mengeksploitasi AI untuk membantu dalam siasatan, risikan serta program pemulihan ideologi tahanan.
“Kita sudah mula menggunakan AI untuk memperkemaskan siasatan dan mengesan lebih awal elemen-elemen pengganas di media sosial. Ini bukan masa depan lagi, ini realiti semasa,” tegasnya.
Ayob Khan mendedahkan, sejak 2016 hingga kini, sebanyak 26 cubaan melancarkan serangan pengganas di Malaysia berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas dan maklumat risikan pihak polis.
“Cubaan ini melibatkan penggunaan bom buatan sendiri (IED), bom kenderaan (VBIED), senjata api dan bom tangan, dan ada yang sudah sampai ke peringkat akhir sebelum kita berjaya menggagalkannya,” katanya sambil menambah bahawa semua cubaan itu dikaitkan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Beliau berkata, masyarakat sering kali tidak menyedari kejayaan besar ini kerana serangan yang berjaya digagalkan tidak memberi kesan langsung di lapangan, namun impaknya amat besar dalam menjaga keselamatan negara.
Dalam masa sama, Ayob Khan menegaskan bahawa ancaman ekstremisme tidak akan lenyap walaupun konflik di luar negara semakin reda, kerana kumpulan militan akan terus mencari ruang untuk mempengaruhi pengikut berdasarkan ideologi mereka.
“Selepas proses damai di beberapa rantau, masih ada lokasi lain yang dieksploitasi kumpulan pengganas untuk merekrut ahli baharu. Fahaman mereka tidak akan berhenti,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dan perkongsian maklumat risikan antarabangsa dalam menangani ancaman keganasan yang bersifat global.
“Malaysia tidak boleh bergerak sendirian.Kita perlu berkongsi maklumat operasi dan risikan dengan agensi luar supaya kehadiran elemen ekstremis dapat dikesan lebih awal,” ujarnya.
Oleh Shahrul Qaizat