
SERIAN: Seiring dengan perkembangan teknologi di dunia, Sarawak terus berusaha untuk tidak terpinggir daripada perkembangan teknologi terutamanya dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa perkembangan teknologi seperti AI harus dipandu oleh nilai murni serta berteraskan hidayah agar tidak disalahgunakan hingga memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Menurut beliau, walaupun teknologi AI kini berkembang pesat dan mampu mengakses serta menterjemah data otak manusia melalui algoritma canggih, namun AI tetap tidak mampu menggantikan hidayah yang hanya datang daripada Allah SWT.
“Teknologi ‘Artificial Intelligence’ ini ibarat otak buatan atau ‘artificial brain’ yang boleh membaca apa yang ada dalam fikiran manusia.
“Tetapi walau secanggih mana teknologi ini, saintis masih tidak dapat mencipta atau meniru hidayah,” ujarnya semasa berucap pada majlis perasmian Menaiktaraf Masjid Darul Makmur Bahagian Serian, semalam.

Abang Johari turut mengingatkan generasi muda tentang peranan besar media sosial dalam era digital hari ini yang menurut beliau ibarat ‘pisau bermata dua’, yang mana boleh membawa manfaat sekiranya digunakan dengan betul, namun juga mampu menghancurkan masyarakat jika disalahguna.
Beliau turut menekankan bahawa walaupun AI berasaskan algoritma dan sains moden, namun setiap kemajuan teknologi harus dimulakan dengan asas akidah yang kukuh dan nilai moral yang tinggi.
Dalam konteks ini katanya, Sarawak juga giat menggunakan teknologi moden termasuk AI dan hidrogen dalam usaha memacu pembangunan negeri serta meningkatkan kemudahan rakyat, selaras dengan agenda menuju negeri maju pada 2030.
Majlis yang diadakan sempena perasmian Masjid Darul Makmur Bahagian Serian itu turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta barisan kepimpinan lain.
Turut hadir memeriahkan majlis, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta isteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta isteri.
Hadir sama barisan Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS) Mual Suaud, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta tetamu kehormat lain. – UKAS