KUCHING: Kecerdasan buatan (AI) dan data raya (Big Data) memainkan peranan simbiotik dalam merangka strategi bagi mencapai visi kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata AI amat bergantung pada ‘big data’ untuk melatih dan menjana cerapan.
”Kesan terbesar AI berpunca daripada keupayaannya untuk mengautomasikan dan menambah pekerjaan yang hari ini dilakukan oleh manusia.
”AI tidak hanya akan mengautomasikan tugasan kerja tetapi akan menjana cara paling cekap untuk menyelesaikan tugasan dan melaraskan aliran kerja dengan pantas apabila keadaan berubah.
”Dua revolusi bersedia untuk membentuk semula dunia kita, iaitu kebangkitan AI dan peralihan segera kepada tenaga bersih hari ini menjanjikan untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui produktiviti, pekerjaan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucaptama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2024 (IDECS24) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut Julaihi berkata antara peranan AI dan data raya dalam mencapai visi Sarawak memodenkan sektor tenaga termasuklah kedua-dua elemen itu digunakan bagi membentuk semula sektor tenaga, merevolusikan penjanaan, pengagihan dan konsumsi tenaga tersebut.
”Daripada pengurusan grid pintar kepada ramalan tenaga boleh diperbaharui, AI secara asasnya mengubah cara industri tenaga beroperasi, menggerakkannya ke arah masa depan lebih cekap, mampan dan terjamin.
”Sebagai contoh, AI akan membolehkan pengurusan grid pintar dengan memantau dan mengawal aliran elektrik dalam masa nyata.
”Dengan menyepadukan sumber tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan dan respon kepada permintaan tenaga, AI akan membantu mengimbangi bekalan dan permintaan serta memaksimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
”Selain itu, algoritma AI boleh menganalisis sejumlah besar data dari sistem tenaga, termasuk grid kuasa dan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk mengoptimumkan penjanaan, pengedaran dan penggunaan tenaga yang membawa kepada penggunaan sumber tenaga yang lebih cekap dan mengurangkan pelepasan karbon,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang: Pengerusi Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) Datu Jafri Lias.
Oleh RYNNA SHA’ERRA