MATU: Pusat pemeriksaan diwujudkan di setiap kampung di daerah ini bagi memantau pergerakan dan menjaga keselamatan penduduk ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengendalikan pusat pemeriksaan itu yang dijaga oleh anggotanya secara bergilir-gilir mulai pagi hingga ke malam.
Pegawai RELA turut dibantu penduduk kampung yang bertugas secara bergilir-gilir.
Kesanggupan anggota RELA merupakan pengorbanan petugas barisan hadapan itu mendapat perhatian Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Ahmad Johnie yang mengadakan lawatan ke setiap pusat pemeriksaan RELA itu semalam, turut menyampaikan peruntukan sejumlah RM3,000 kepada pusat pemeriksaan di setiap kampung daerah ini.
Menurut Ahmad Johnie, sumbangan itu disampaikan melalui pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Daerah Matu sebagai menghargai kesanggupan dan pengorbanan petugas RELA yang bertugas dari pagi hingga ke malam.
“Selain sumbangan kewangan, bantuan lain turut diberikan antaranya, kanopi dan alat pengimbas suhu badan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada petugas RELA yang mengorbankan masa dan tenaga demi keselamatan penduduk,” katanya.
Semalam, sembilan JKKK menerima sumbangan itu dan akan disambung hari ini.