KUCHING: Setiausaha Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata, rakyat sudah jemu dengan pergolakan politik di negara ini dan ahli politik sebaliknya harus memberi fokus untuk membantu rakyat yang sedang mengalami kekangan ekonomi.
Beliau berkata, politik akan lebih bererti sekiranya rakyat mendapat manfaat dan bukannya untuk ahli politik yang mempunyai agenda sendiri.
“Rakyat ingin melihat kerajaan persekutuan dan negeri melakukan sesuatu faedah untuk mereka dengan memberi bantuan kewangan menerusi agensi kerajaan seperti yang diumumkan.
“Masa adalah penting dan keberkesanan pengedaran bantuan sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat,” kata Foo yang meminta pihak pembangkang, terutamanya DAP supaya berjuang untuk rakyat dan memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan kewangan ini.
Beliau telah menerima senarai nama daripada 40 penjaja berlesen dari Pasar Kenyalang yang masih belum menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) berjumlah RM750 seorang bagi kumpulan pertama.
“Senarai nama ini telah diberi kepada agensi yang berkenaan untuk tindakan seterusnya dan saya percaya mereka yang masih belum menerima BSKK akan diberi pertimbangan sewajarnya dan menerima bantuan ini,” kata Foo.
Oleh Connie Chieng