
SIBU: Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, mencadangkan pembinaan sebuah hospital baharu di bandar ini bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk yang semakin meningkat, terutamanya di kawasan tengah Sarawak.
Menurutnya, Hospital Sibu yang dibina pada 1994, kini tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah, khususnya dari kawasan luar bandar seperti Kapit, susulan kemudahan jalan raya yang semakin baik.
“Hospital sedia ada tidak direka untuk berfungsi sebagai hospital wilayah. Jika kita bina sebuah hospital kedua yang memenuhi piawaian hospital wilayah, banyak masalah boleh diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis ramah tamah Aidilfitri anjuran bersama PAWE Sibu dan Komuniti Madani Sri Rajang di Dewan Lakis Sibu, malam tadi.
Ling mencadangkan hospital baharu itu dibina di Sibu Jaya kerana kawasan tersebut masih mempunyai banyak tanah lapang yang sesuai untuk pembangunan.
“Saya mencadangkan hospital kedua ini dibina di Sibu Jaya. Kawasannya luas. Kalau Kuching boleh ada lima hospital, kenapa Sibu tidak boleh ada dua?” ujarnya.
Ketika ini, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) merancang untuk menaik taraf Hospital Sibu menjadi hospital wilayah, bersama dua hospital lain di Kuching dan Miri.
Bagaimanapun, Ling berpendapat bahawa menaik taraf sahaja tidak mencukupi.
“Dengan jaringan jalan raya yang semakin baik, semakin ramai pesakit dari luar Sibu datang ke sini. Kapasiti hospital sedia ada sudah padat. Kita perlu mempertimbangkan pembinaan hospital kedua,” jelasnya.
Tambah beliau, lokasi Hospital Sibu yang sedia ada tidak sesuai untuk diperluaskan kerana keadaan tanah yang berpaya.
“Atas sebab itu, saya mencadangkan agar kita mencari lokasi baharu yang lebih sesuai untuk pembinaan hospital kedua,” katanya lagi.
Ling turut memaklumkan bahawa beliau telah membawa cadangan tersebut ke Parlimen dan akan terus mendesak kerajaan Persekutuan agar memberikan perhatian serius terhadap perkara ini.
“Malah, saya juga mencadangkan penubuhan Hospital Kanser di Sibu. Hospital ini boleh dibina di lokasi hospital kedua yang dicadangkan. Seterusnya, hospital khusus lain pula boleh dibangunkan di Miri.
“Ketika ini, pesakit kanser dari Sibu terpaksa ke Kuching untuk mendapatkan rawatan radioterapi kerana hanya Kuching menyediakan perkhidmatan tersebut. Ini merupakan satu kekurangan besar,” tegasnya.
Walaupun cadangan pembinaan hospital kedua ini masih di peringkat awal, Ling berharap KKM akan mempertimbangkannya dalam pelan pembangunan akan datang.
Oleh Tarani Lanting