
MIRI: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii Siew Sang menyuarakan harapan agar ahli majlis baharu yang dilantik mampu melahirkan idea dan tenaga baharu serta penyelesaian inovatif dalam misi meningkatkan pembangunan bandar raya ini.
Berucap pada majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis di Dewan MBM hari ini, Yii menggesa barisan lantikan baharu bersatu dalam membentuk masa depan Miri, selaras dengan visi menjadi ‘Bandar Peranginan Antarabangsa Hijau, Pintar, dan Paling Boleh Didiami’.
“Saya percaya bahawa setiap daripada kita, dengan latar belakang dan kepakaran yang pelbagai, mempunyai potensi untuk membentuk idea berani dan berkesan yang akan meningkatkan bandar kita ke tahap lebih tinggi.
“Marilah kita bekerjasama dengan perpaduan, semangat, dan tujuan bersama. Marilah kita menginspirasi satu sama lain dan memimpin melalui teladan. Walaupun cabaran mungkin timbul, saya yakin dengan keberanian, ketabahan dan kerjasama, kita akan mengatasinya dan mencapai kemajuan yang bermakna.
“Semoga Miri terus berkembang maju sebagai mercu tanda kemajuan, kemampanan dan keharmonian,” kata Yii.
Sementara itu, beliau berkata usaha majlis itu kekal sejajar dengan Agenda Bandar Pintar Miri di bawah rangka kerja Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Visi kami adalah untuk mengubah Miri menjadi bandar moden, mampan dan dipacu teknologi yang mengutamakan kesejahteraan rakyatnya.
“Antara keutamaan ialah menambah baik infrastruktur digital, meningkatkan pengangkutan awam, mempromosikan kehidupan hijau dan mampan serta memastikan keterangkuman dalam pembangunan,” katanya.
Pada masa sama, Adam Yii telah dilantik semula sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) MBM dan tempoh jawatannya sebagai Datuk Bandar MBM dilanjutkan hingga Mac 2026.
Timbalan Datuk Bandar, Ariffin Mohamad dan ahli-ahli majlis baharu pula akan berkhidmat hingga Mac 2028.
Majlis angkat sumpah itu disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Oleh Liong Chai Ling