MEXICO CITY: Ahli arkeologi yang menjalankan kerja-kerja penggalian di Lima, Peru menemukan rangka berusia kira-kira 1,400 tahun yang dipercayai berkaitan dengan upacara korban manusia, menurut Kementerian Kebudayaan negara itu pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Penemuan itu dibuat di tapak runtuhan Huaca Pucllana, sebuah piramid daripada bata adob dan tanah liat yang dibina oleh tamadun pribumi Lima antara 450 hingga 650 Masihi.
Pasukan arkeologi menemukan rangka yang dipercayai milik seorang lelaki dewasa.
Rangka itu dipercayai diletakkan sebagai persembahan ketika upacara penutupan sebuah saluran air bawah tanah yang dihubungkan dengan perigi upacara. Turut ditemukan ialah kepala ular seramik.
Rangka berkenaan dijumpai terbaring di sepanjang saluran itu dan mengiring ke sebelah kiri.
Tengkoraknya pula menghadap ke barat, ke arah piramid dan laut, yang menurut Kementerian Kebudayaan menunjukkan “susunan disengajakan yang berkaitan dengan upacara penyucian struktur berkenaan”.
Menurut pihak berkuasa kebudayaan, penemuan itu memberikan pemahaman baharu mengenai amalan ritual di Huaca Pucllana.
Huaca Pucllana di daerah Miraflores terkenal dengan piramid bertingkat yang terdiri daripada jutaan bata lumpur buatan tangan.- Bernama-dpa




