
-FOTO CENTEXS BETONG
BETONG: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Betong pada tahun ini sekali lagi meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan Program Agihan Bubur Lambuk sempena Ramadan yang penuh keberkatan.
Menurut kenyataan media CENTEXS Betong, program itu bertujuan menyemai nilai perpaduan, menggalakkan budaya berkongsi rezeki serta memperkukuhkan hubungan silaturahim antara kakitangan dan pelatih CENTEXS Betong dengan masyarakat setempat.
“Keunikan program tahun ini terletak pada penyediaan bubur lambuk yang dilakukan sepenuhnya oleh pelatih dari program patisserie dan bakeri serta masakan.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada para pelatih untuk mempraktikkan kemahiran yang telah dipelajari, malah turut memberikan pengalaman berharga dalam penyediaan makanan secara berskala besar,” katanya.
Sebanyak 700 paket bubur lambuk telah berjaya diagihkan kepada komuniti sekitar Betong di hadapan kampus itu, petang semalam.
“Program pengagihan bubur lambuk ini telah melibatkan seramai 80 pelatih dan 20 kakitangan CENTEXS Betong.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan, sekali gus membuktikan bahawa program ini terus menjadi platform yang efektif dalam mengukuhkan semangat kejiranan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Selain itu, ia turut menjadi medan untuk mempromosikan kepada penduduk setempat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di CENTEXS Betong, khususnya bagi sesi pengambilan pelatih April kelak.
Antara kursus yang bakal ditawarkan ialah Teknologi Fesyen (Jahitan), Elektrik dan Diploma Dandanan Rambut dan Solekan.
“Dengan penyediaan program sebegini, CENTEXS Betong berharap dapat terus memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan kemahiran kepada generasi muda, seterusnya melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten dan berdaya saing,” ujarnya.
OLEH ADI SAFARMAN
