Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Afrika muncul pemenang Piala Dunia diperluas, Asia mengecewakan
  • SUKAN

Afrika muncul pemenang Piala Dunia diperluas, Asia mengecewakan

Utusan Sarawak 5 hours ago
VOZINHA jadi sensasi dunia – Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, menjadi sensasi internet selepas aksi cemerlangnya sepanjang kempen Piala Dunia. Foto AFP

ATLANTA: Cape Verde mencuri perhatian dunia dan mengesahkan pertemuan dengan Argentina diketuai Lionel Messi pada pusingan 32 terbaik, namun kejayaan negara kecil itu hanyalah sebahagian daripada kebangkitan bola sepak Afrika pada Piala Dunia edisi 48 pasukan.

Daripada rekod 10 wakil Afrika yang layak ke kejohanan kali ini, hanya Tunisia tersingkir selepas saingan peringkat kumpulan.

Kuasa besar seperti Sepanyol, England, Portugal dan Brazil yang dianggap antara pilihan awal kejohanan gagal menewaskan lawan dari Afrika, manakala Maghribi secara terbuka menyuarakan keyakinan untuk menjadi juara dunia pertama dari benua itu.

“Bukti itu menunjukkan kualiti bola sepak Afrika.

“Apabila sembilan daripada 10 pasukan mara ke pusingan seterusnya dalam kejohanan terbesar dunia, ia membuktikan banyak perkara,” kata bintang Algeria, Riyad Mahrez.

Kejayaan luar biasa Cape Verde turut dilihat sebagai justifikasi kepada keputusan FIFA menambah jumlah pasukan daripada 32 kepada 48, walaupun langkah itu sebelum ini dikritik sebagai usaha meningkatkan pendapatan badan induk bola sepak dunia itu.

Negara kepulauan dengan penduduk lebih 500,000 orang itu menjadi negara terkecil pernah layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas mengikat Sepanyol pada penampilan sulung mereka.

Penjaga gol berusia 40 tahun, Vozinha, pula menjadi sensasi media sosial selepas aksi cemerlang ketika menentang juara Eropah itu sehingga memperoleh 17 juta pengikut di Instagram.

Cape Verde kemudian mengikat Uruguay dan Arab Saudi, sekali gus menyingkirkan kedua-dua pasukan berkenaan.

CONGO DR berdepan England – Republik Demokratik Congo bakal membuat perhitungan dengan England pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia. Foto AFP

Hanya menunggu masa

Kuota Afrika untuk Piala Dunia kali ini meningkat dua kali ganda berbanding edisi lalu dan selain Tunisia yang tewas dalam ketiga-tiga perlawanan sambil dibolosi 12 gol, wakil lain membuktikan mereka layak mendapat lebih banyak tempat.

“Saya sudah bekerja di Afrika selama 15 tahun. Saya melihat persatuan bola sepak semakin tersusun, jurulatih semakin baik dan pemain terus meningkat.

“Afrika terus berkembang dan masih mempunyai ruang untuk menjadi lebih baik.

“Saya percaya dan berharap sebuah negara Afrika akan memenangi Piala Dunia sama ada tahun ini atau pada masa depan. Bagi saya, ia hanya soal masa,” kata jurulatih Republik Demokratik Congo, Sebastien Desabre.

Maghribi yang muncul pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir empat tahun lalu terus menjadi inspirasi kepada negara lain di benua itu.

Skuad Atlas Lions menguasai sebahagian besar permainan ketika seri 1-1 dengan Brazil dan kini bersedia menghadapi Belanda pada pusingan 32 terbaik.

“Kami perlu percaya kepada sasaran ini, iaitu memenangi Piala Dunia.

“Maghribi kini berada pada dimensi baharu. Pemain dan penyokong percaya kepada pasukan ini, manakala lawan pula menghormati kami,” kata jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi.

ROOM tuntut patung penghargaan – Penjaga gol Curacao, Eloy Room, bergurau dengan menyatakan beliau layak diberikan patung selepas aksi heroiknya membantu pasukan mengikat Ecuador. Foto AFP

Asia mengecewakan

Pulau kecil Caribbean, Curacao, turut mencipta detik bersejarah apabila mengikat Ecuador tanpa jaringan.

Namun Curacao tersingkir bersama Haiti dan Panama yang gagal mengutip sebarang mata, sekali gus menyaksikan ketiga-tiga wakil dari zon CONCACAF yang terjejas akibat ketiadaan tuan rumah bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada tersingkir tanpa kemenangan.

Berbeza dengan kebangkitan Afrika, wakil Asia gagal memanfaatkan pertambahan kuota kepada sembilan pasukan.

Hanya Jepun dan Australia berjaya mara ke pusingan kalah mati.

Jordan dan Uzbekistan menamatkan penampilan sulung tanpa sebarang mata, manakala Iraq dibolosi 12 gol selepas diundi dalam kumpulan sukar bersama Perancis, Senegal dan Norway.

Walaupun saingan peringkat kumpulan dihiasi aksi hebat bintang seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe, Vinicius Junior dan Erling Haaland, terdapat juga pandangan bahawa peluasan Piala Dunia telah menjejaskan tahap persaingan.

Sebanyak lapan kemenangan dengan margin empat gol direkodkan pada peringkat kumpulan, hanya kurang satu daripada jumlah keseluruhan yang dicatatkan dalam tiga edisi Piala Dunia sebelum ini. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: “Senyap tidak bermakna tiada suara” – Fatimah
Next: Kanada, Afrika Selatan cipta sejarah dalam aksi kalah mati Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.