
KUCHING: Kumpulan AFFIN terus mengukuhkan peranannya dalam pembangunan ekonomi negara menerusi hala tuju strategiknya untuk menjadi bank masa hadapan, sambil menyokong pertumbuhan ekonomi pesat di Malaysia termasuk di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya 2025 Kumpulan AFFIN yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuching, malam tadi.
Menurut beliau, bagi memperkukuh sistem perbankan di Sarawak, Kumpulan AFFIN telah memperluas operasinya dengan membuka cawangan baharu di ICOM Square, dan merancang untuk membuka enam lagi cawangan pada masa hadapan, sekali gus mencerminkan pertumbuhan berterusan kumpulan tersebut.
“Perkembangan pesat sektor perbankan ini pastinya memberi lebih banyak kemudahan kepada rakyat Sarawak, termasuk perkhidmatan baharu seperti Kad AFFIN Kenyalang,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar Kumpulan AFFIN terus berkembang ke peringkat serantau, seiring dengan aspirasi Sarawak untuk menyertai Grid Kuasa ASEAN.
“Apabila inisiatif Grid Kuasa ASEAN direalisasikan, AFFIN juga akan berkembang bersama Sarawak,” katanya lagi.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali dalam ucapan alu-aluannya menegaskan komitmen kumpulan itu untuk membina dan menghargai hubungan jangka panjang bersama pelanggan.
“Matlamat kami adalah untuk membantu anda merealisasikan impian dan mengubahnya menjadi realiti,” katanya, selaras dengan visi AFFIN untuk menjadi Syarikat Kewangan Paling Kreatif dan Inovatif di Malaysia.
Sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Kumpulan AFFIN, beliau turut mengumumkan pelbagai acara, kempen dan pelancaran produk inovatif, termasuk kempen Jubli Emas “AFFIN 50 Tahun, 50 Hadiah” yang menawarkan 50 hadiah eksklusif, dengan hadiah utama bernilai RM1 juta.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Pengerusi AFFIN Bank Dato’ Agil Natt, Pengerusi AFFIN Islamic Bank Musa Abdul Malek, Pengerusi AFFIN Moneybrokers Tan Sri Dato’ Seri Panglima Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin serta tetamu kehormat lain.