KUCHING: Permeteraian Perjanjian Jual Beli Saham (SPA) Affin Bank antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan kerajaan Sarawak menandakan permulaan transformatif yang akan mempercepatkan trajektori pertumbuhan institusi kewangan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata pakatan strategik itu menggabungkan kekuatan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan kerajaan Sarawak untuk membentuk kuasa yang tiada tandingan dan bersedia untuk mentakrifkan semula landskap perbankan.
“Affin Bank akan menyokong sektor runcit, korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk PKS di Sarawak.
“Selain itu, Affin akan mengembangkan rangkaian cawangan bank daripada enam kepada 14 cawangan baharu di Sarawak menjelang suku pertama 2025.
“Pulau Pinang, Johor and Selangor juga akan menyaksikan 10 lagi cawangan baharu menjadikan jumlah cawangan bank Affin 146 menjelang Jun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian jual beli saham oleh kerajaan Sarawak dan LTAT di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.
Majlis permeteraian SPA itu disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Sementara itu,Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata permeraian SPA itu akan memberi manfaat besar kepada simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia di LTAT.
Jelasnya, melalui kerjasama pelaburan strategik itu, dana persaraan anggota ATM akan diuruskan dengan lebih berkesan dan efisien, memastikan pulangan yang lebih baik dan stabil.
“Sebagai sebuah institusi yang menguruskan dana persaraan anggota ATM, pengambilalihan sebahagian pegangan LTAT dalam Affin Bank oleh kerajaan Sarawak adalah satu langkah strategik bagi memastikan pertumbuhan dan perlindungan dana pencarum LTAT.
“Keputusan strategik ini dijangka menghasilkan pulangan positif dalam bentuk dividen yang kompetitif serta mampan kepada pencarum LTAT,” jelasnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA