SIMANGGANG: Berjumpa, bertanya khabar dan mendengar sendiri keluhan rakyat mengenai isu di peringkat kampung merupakan kaedah yang sering diterapkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut Harden, kaedah ini bukan sahaja mendekatkan pemimpin dengan rakyat, tetapi juga cara terbaik untuk pemimpin mengetahui secara terus permasalahan yang dihadapi rakyat.
Menurutnya lagi, pendekatan seperti itu sejajar dengan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan keperluan rakyat Sarawak termasuk mereka di kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini.
“Sudah pasti saya akan memberikan perhatian terhadap setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Apa pun masalah mereka, kita akan tetap memberikan keutamaan walaupun ada sebahagiannya terpaksa diselesaikan secara berperingkat-peringkat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Harden yang juga Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti semalam telah berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 10 penduduk dalam satu Program Bantuan Amal yang dianjurkan oleh Penjara Pusat Sri Aman.
Hadir sama, Penolong Komisioner Penjara (PKK) Anbalagan Subramaniam dan Timbalan Penguasa Penjara (TPP) Roy Martin.
Pada masa sama katanya, beliau lebih gemar mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi masyarakat dengan menghadiri perjumpaan yang dianjurkan.
“Sudah pasti, saya akan berusaha sedaya upaya membantu rakyat dalam apa-apa jua isu yang berbangkit terutama yang melibatkan kepentingan bersama.
“Saya memberi jaminan akan meneruskan perjuangan untuk membela nasib rakyat di kawasan ini termasuk di pedalaman dan luar bandar.
“Masih banyak perlu dilaksanakan di kawasan ini khususnya dalam aspek pembangunan,” ujar beliau.
Justeru, beliau menggesa agar rakyat di negeri ini kekal bersatu dan berdiri teguh di belakang Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan pembangunan berterusan.
“Ini penting bagi memudahkan kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan di sesebuah kawasan. Kerajaan GPS sentiasa berpegang teguh kepada janji-janji mereka, dan rakyat tidak perlu risau tentang itu,” tegas beliau.
Oleh Adi Safarman