

PRIHATIN…. Penghulu Huang Tiong Kang selaku wakil Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menyerahkan sumbangan katil pesakit boleh laras kepada pesakit.
SARIKEI: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Beliau telah menyumbangkan katil pesakit boleh laras kepada dua warga emas yang terlantar sakit di rumah, baru-baru ini.
Hadir mewakili Tiong Sii menyerahkan bantuan ialah Penghulu Huang Tiong Kang.
Bantuan tersebut disalurkan kepada Lau Kiing Siong, 78, yang menetap di Jalan Sakam, dan Leong Sun Tai, 80, yang tinggal di Jalan Bank.
Kedua-dua mereka merupakan pesakit yang memerlukan kemudahan khas bagi memudahkan penjagaan oleh ahli keluarga.
Tiong Sii berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan beliau dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, terutama dalam kalangan pesakit yang kurang berkemampuan serta memerlukan perhatian segera.
“Saya faham kesukaran yang dihadapi oleh keluarga yang menjaga pesakit terlantar di rumah.
“Sumbangan katil pesakit boleh laras ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan keluarga serta meningkatkan keselesaan pesakit sepanjang proses rawatan di rumah,” katanya ketika dihubungi media.
Sementara itu, ahli keluarga kedua-dua pesakit menyatakan rasa syukur dan terharu atas sumbangan tersebut.
Inisiatif seumpama ini membuktikan komitmen Tiong Sii bukan sekadar dari segi pembangunan, malah merangkumi kebajikan dan kemanusiaan, sejajar dengan prinsip kepimpinan yang berteraskan kasih sayang terhadap rakyat.
Oleh Earl Anek