PETRA JAYA: Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memantau bagi memastikan setiap rumah ibadat di kawasan masing-masing menggunakan dana diperoleh daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebaik mungkin, jelas Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.
Katanya, ini berikutan bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan berjalan dengan baik dan jayanya.
“Setiap wakil rakyat perlu mengemukakan laporan bagi projek yang dilaksanakan kepada pihak UNIFOR. Tahun ini, Premier Sarawak telah meluluskan sebanyak RM110 juta untuk rumah-rumah ibadat dan sekolah,” katanya.
Daripada jumlah itu, jelasnya, RM90 juta adalah untuk rumah-rumah ibadat.
Bagi fasa pertama, setakat ini, jelasnya, sebanyak RM14 juta telah diserahkan untuk manfaat 32 rumah ibadah.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-agama Lain Fasa 2/2024 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Uggah selaku menteri bertanggungjawab terhadap UNIFOR turut memaklumkan kesinambungan daripada itu, sebanyak RM40.87 juta diluluskan di bawah fasa dua, yang memanfaatkan 91 rumah ibadah di seluruh Sarawak.
“Permohonan bagi baki RM34,795 juta daripada peruntukan tahun ini sedang dimuktamadkan dan bantuan akan dikeluarkan dalam masa terdekat di bawah fasa seterusnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, ADUN Bukit Saban itu menambah, bangunan kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang terletak di Jalan Ong Tiang Swee telah siap hampir 90 peratus.
“Kita menjangkakan untuk memperoleh Permit Menduduki (OP) sekitar September dan ini bermakna menjelang akhir tahun atau awal tahun depan kita sudah boleh berpindah.”
Mengenai majlis, seramai 42 Ahli Parlimen dan ADUN menerima 86 cek berjumlah RM29.17 juta untuk pelbagai projek keagamaan di konstituensi masing-masing, iaitu sebahagian daripada yang diluluskan di bawah fasa kedua tahun ini.
Oleh Azreen Keria