KUCHING: Pengguna digalakkan menggunakan elektrik secara berhemah susulan keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan yang dijangka berterusan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Menurut kenyataan Sarawak Energy Berhad (SEB), keadaan cuaca lebih panas berpotensi meningkatkan penggunaan elektrik apabila orang ramai menggunakan penghawa dingin dan peralatan penyejuk untuk tempoh lebih lama.
“Pada masa sama, keadaan kering berpanjangan berpotensi menjejaskan sumber air yang menyokong penjanaan tenaga hidro.
“Sehubungan itu, pengguna digalakkan mengelakkan penggunaan elektrik yang tidak diperlukan, terutama ketika permintaan tenaga berada pada tahap tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, antara langkah penjimatan yang disarankan termasuk menetapkan penghawa dingin pada suhu sekitar 24 darjah Celsius, mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta mengelakkan penggunaan beberapa peralatan berkuasa tinggi secara serentak.
“Pengguna yang mempunyai meter pintar juga boleh menggunakan perkhidmatan digital Sarawak Energy menerusi aplikasi mudah alih dan portal web SEB cares bagi memahami, memantau serta mengurus penggunaan elektrik dengan lebih baik.
“Ciri Wawasan Tenaga membolehkan pengguna menjejaki penggunaan elektrik mengikut jam, harian dan bulanan bagi mengenal pasti peluang menjimatkan tenaga serta mengurus kos,” jelasnya.
Sarawak Energy akan terus memantau keadaan cuaca, sumber air dan permintaan elektrik dengan mengambil langkah sewajarnya bagi menyokong kebolehpercayaan bekalan elektrik sepanjang tempoh berkenaan.
Pengguna turut digesa memainkan peranan dengan menggunakan elektrik secara bertanggungjawab dan mengamalkan langkah penjimatan tenaga.
Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy menerusi talian 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com, aplikasi mudah alih atau portal web SEB cares serta ejen maya CARINA.
Oleh Masrin Affirah





