
MAKKAH: Β Projek Arab Saudi bagi Pengurusan Hady dan Adahi (Adahi) mengumumkan bahawa segala persiapan operasinya bagi musim haji 1446 Hijrah telah selesai sepenuhnya.
βProjek ini telah melengkapkan persiapan di tujuh pusat Adahi khusus yang meliputi keluasan lebih sejuta meter persegi, dengan keupayaan operasi melebihi sejuta ekor ternakan dalam tempoh hanya 84 jam,β menurut kenyataan Adahi kepada Bernama hari ini.
Menurut Adahi, kemudahan tersebut dikendalikan oleh kira-kira 25,000 petugas pakar yang dijemput dari beberapa negara, termasuk 600 pakar syariah, lebih 500 doktor haiwan, 16,500 penyembelih dan pembantu penyembelih, serta 400 juruteknik dalam bidang penyejukan, sistem elektrik, operasi mekanikal dan pengendalian mesin.
Adahi menyatakan projek ini menyediakan sistem menyeluruh yang menggabungkan pematuhan syariah, kecekapan operasi dan inovasi teknologi, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Arab Saudi dalam mempermudah pelaksanaan ibadah jemaah serta memupuk nilai belas ihsan dan solidariti kemanusiaan di peringkat global.
Projek itu turut menegaskan bahawa sistem operasinya untuk musim haji tahun ini menggabungkan teknologi canggih bagi meningkatkan kecekapan keseluruhan dan ketelusan pelaksanaan.
Antara sistem utama yang diperkenalkan termasuk sistem kiraan Adahi berasaskan kecerdasan buatan (AI), sistem pengesahan berat automatik bagi memastikan pematuhan standard syariah, serta sistem penjejakan daging yang baharu bagi memastikan penghantaran daging korban kepada penerima yang layak secara tepat dan telus.
Ini termasuk juga sistem ‘Plus Freezing Monitoring’,Β yang membolehkan pemantauan prestasi dan kapasiti peti sejuk secara masa nyata, bagi memastikan kualiti dan keselamatan sepanjang proses penyimpanan dan agihan.
βProjek itu turut memperkenalkan teknik pensterilan yang dipertingkat dan protokol serta prosedur seragam di semua kemudahan penyembelihan, memperkukuh komitmen terhadap standard keselamatan makanan yang tertinggi,β tambahnya.
Adahi memaklumkan bahawa proses penyembelihan Udhiya dilaksanakan pada kadar yang mengagumkan, iaitu satu sembelihan setiap tujuh saat, bagi memastikan penghantaran tepat pada masanya dalam tempoh permintaan yang tinggi semasa musim haji.
Setakat ini, lebih 770,000 ekor ternakan telah diterima, melebihi sasaran awal sebanyak 750,000 ekor, dengan proses pemindahan dari ladang pembekal ke kawasan simpanan projek masih berlangsung, katanya.
Adahi menjelaskan bahawa agihan semasa musim haji difokuskan di wilayah Makkah bagi memenuhi keperluan kempen rasmi dan misi, pertubuhan kebajikan serta jemaah haji, manakala skop agihan pascahaji akan diperluas ke seluruh wilayah Arab Saudi, dengan penekanan khas di kawasan Haram.
Di dalam negara, projek ini bekerjasama dengan lebih 500 pertubuhan kebajikan dan masyarakat sivil, manakala di peringkat antarabangsa, daging korban diagihkan ke lebih 27 negara, sekali gus memperluas impak positif projek ini dalam menyokong keselamatan makanan global dan memperkukuh nilai solidariti kemanusiaan.
βMusim haji kali ini turut menyaksikan peluasan kerjasama operasi strategik dengan entiti kerajaan, pengawal selia dan pelaksana utama, yang mempertingkat dan melancarkan koordinasi serta urusan bersama mereka,β kata Adahi.
Antara entiti tersebut termasuk Kementerian Haji dan Umrah menerusi platform ‘Nusuk’, syarikat perkhidmatan jemaah haji, Saudia Airlines bagi sokongan logistik dan urusan penerbangan, Sarab Holding dalam bidang hospitaliti dan perkhidmatan hotel, OneCard untuk pembayaran digital, serta aplikasi ‘Jahez’ bagi perkhidmatan penghantaran.
Selaras dengan strategi transformasi digital Arab Saudi, Adahi turut menawarkan kemudahan kepada jemaah untuk membeli bon Udhiya secara dalam talian menerusi laman web tiga bahasa, bagi membolehkan transaksi yang selamat dan mesra pengguna kepada jemaah daripada pelbagai latar belakang dan kewarganegaraan.
βSatu daripada matlamat utama projek pada musim ini ialah memperluas rangkaian agihan bagi mencapai lebih ramai penerima manfaat dan individu yang memerlukan, di dalam dan luar negara, melalui sistem yang tepat dan terkawal berasaskan teknologi moden serta pengalaman operasi selama beberapa dekad,β menurut kenyataan itu.
Adahi menegaskan pihaknya kekal komited dalam usaha memberi khidmat terbaik kepada jemaah dengan menyediakan pengalaman automasi menyeluruh dalam pelaksanaan ibadah korban, yang menggabungkan pematuhan syariah dengan kepakaran institusi.
βIni mencerminkan kepimpinan global Arab Saudi dalam mengurus ibadah haji yang suci, serta menjelmakan visinya dalam menyokong hal ehwal Islam dan komuniti Muslim dengan profesionalisme, ketelusan dan kelestarian,β katanya.– Bernama