KUCHING: Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 dijangka menarik kehadiran warga Sarawak di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, esok.
Acara tahunan ini akan dimulakan dengan majlis pelancaran Pameran LBAS 2024, yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Penaung Sarawak Volunteers, Dato Sri Fadillah Yusof pada 8.30 pagi.
Selain itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijadualkan menghadiri Sesi Townhall ‘Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak,’ yang akan dikendalikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni, sebagai moderator pada 3 petang esok.
Pada sebelah malamnya, majlis makan malam Anak Sarawak akan dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari serta tetamu kehormat lain juga dijangka menghadiri acara kemuncak tersebut.
Dalam pada itu, program LBAS juga turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, termasuk pameran, ceramah kerjaya, ‘Kenyalang Speaks’ dan banyak lagi.
Orang ramai, terutamanya anak-anak Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia, dijemput hadir untuk memeriahkan program ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal