SHAH ALAM: Seorang lelaki rentung manakala adiknya berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Saga, Seksyen 26 di sini, awal pagi semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira 4.00 pagi itu, mangsa yang rentung, Ahmad Zulhilman Zakaria, 27, ditemukan di bilik tidurnya di tingkat atas rumah berkenaan.
Beliau berkata, adik mangsa, Ahmad Hamizan, 25, yang berada di bilik tidurnya di tingkat bawah rumah pula menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap sebelum meminta bantuan jiran.
“Rumah ini didiami tiga beradik lelaki dewasa dan ibu bapa mereka bekerja di luar negara. Siasatan mendapati, adik bongsu mereka, Ahmad Nazmi, 21, tiada di rumah ketika kebakaran dan dimaklumkan dia bermalam di rumah kawannya.
“Rumah dua tingkat ini dianggarkan terbakar 90 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran di sini semalam.
Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, beliau ada mendengar bunyi kaca pecah serta jeritan Ahmad Zulhilman meminta tolong kira-kira 3.00 pagi dan menganggap rumah mereka dipecah masuk pencuri.
Namun, ketika keluar untuk menjengah rumah jirannya itu, beliau terkejut melihat api sangat marak dan asap yang tebal.
“Adiknya (Ahmad Hamizan) datang kepada saya dan beritahu abangnya tak boleh keluar. Beberapa jiran lain pun datang untuk bantu tapi api sangat marak dan haba terlalu panas menyebabkan kami langsung tak boleh dekat (dengan rumah tersebut).
“Saya yang menelefon bomba. Namun kami jiran-jiran berasa kesal kerana tak dapat bantu mangsa sebab mereka sekeluarga dah duduk sini sejak puluhan tahun lepas. Ibu bapa mereka pula tiada di sini (bekerja di luar negara),” katanya. – Bernama