
BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa generasi muda negeri ini menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Beliau berkata perkembangan pesat teknologi digital dan sistem pintar ketika ini akan mengubah landskap pekerjaan serta industri global.
“Dunia kini memasuki era AI dan teknologi pintar. Sebab itu anak-anak Sarawak perlu menguasai ilmu baharu supaya mereka tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sempena Program Sarawakku Sayang di Hotel Imperial di sini, semalam.

Dalam ucapannya, Abang Johari turut meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menggalakkan generasi muda di kawasan masing-masing mempelajari ilmu baharu serta meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi.
Menurutnya, kerajaan Sarawak kini memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi pendidikan berteraskan STEM termasuk dalam bidang digital, aeroangkasa dan kejuruteraan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak menyasarkan pelancaran nano satelit sendiri menjelang 2030 sebagai sebahagian agenda pembangunan teknologi tinggi negeri.
Ketika ini, katanya, sudah ada anak Sarawak yang terlibat dalam program pembangunan satelit di Amerika Syarikat dan pengalaman tersebut penting dalam membina kepakaran tempatan dalam bidang aeroangkasa.
“Kalau kita sayang Sarawak dan sayang anak-anak kita, kita mesti pastikan mereka mempunyai ilmu dan kemahiran untuk menghadapi masa depan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih