KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamad Sadique beserta rombongannya bertempat di Pejabat Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Kunjungan tersebut merupakan kunjungan mesra Halimah dan pertama kali sejak dilantik sebagai Menteri Perpaduan Negara.
Menurut Halimah, beberapa perkara telah dibincangkan dengan Ketua Menteri dan antaranya kerjasama diantara pihak kementerian dengan Kerajaan Sarawak.
“Terima kasih Ketua Menteri kerana ada beberapa yang dibincangkan telah mendapat persetujuan Kerajaan Negeri untuk kita laksanakan.
“Contohnya dari segi rancangan pembangunan pada masa akan datang yang dirancang oleh pihak kementerian,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat, semalam.
Ujarnya, Kementerian Perpaduan Negara tidak hanya bertanggung jawab dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan perpaduan dan intergrasi nasional.
“Tetapi tanggungjawab kementerian amat besar termasuk bertanggung jawab dalam projek-projek lain yang berkaitan dengan kementerian seperti Tadika dan Taska Perpaduan termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
“Perkara lain yang dibincangkan termasuk apa yang kementerian rancangkan seperti menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk KRT masing-masing.
“Hari ini kita telah menyerahkan geran RM459,966 kepada unit peronda sukarela (SRS) di bawah KRT dan juga untuk Tadika dan Taska Perpaduan untuk membeli peralatan keselamatan seperti topeng muka, pembersih tangan, dan lain-lain,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan berkesempatan bertemu dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk membincangkan peranan Unit Hal Ehwal Agama Lain-Lain (UNIFOR).
“Di kementerian, kita juga bertugas memantau rumah ibadat bukan Islam tetapi kuasa mutlak adalah terletak di tangan Kerajaan Negeri seperti prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula rumah-rumah ibadah bukan islam,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Senator Dato Sri Ti Lian Ker, Menteri Kebajikan dan Kesejahteraan Wanita, Keluarga dan Kanak- Kanak Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pengarah Kementerian Perpaduan Datuk Hisamuddin Mohd Sujak dan Pengarah Perpaduan Negeri Sarawak Dirwana Azool.
Oleh Zarina Abdullah