
BINTULU: Sikap saling menghormati antara kaum dan agama merupakan asas utama dalam memastikan perpaduan serta keharmonian negara terus terpelihara dan kukuh.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, kestabilan negara hanya dapat dicapai sekiranya rakyat tidak menjadikan isu perkauman dan keagamaan sebagai alat politik.
Menurut beliau, sikap sedemikian bukan sahaja menggugat kerjasama antara kaum, malah boleh menjejaskan keamanan negara.
“Kita mestilah saling menghormati semua kaum dan agama. Hanya dengan itu kita boleh mencapai perpaduan dan keharmonian.
“Jika negara tidak aman, kita tidak akan dapat bekerjasama. Dalam politik, isu kaum dan agama sering dimainkan, dan ini harus dihentikan.
“Kita perlu sentiasa ingat bahawa perpaduan dan keharmonian adalah keutamaan dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Mesra Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, malam tadi.
Tambah Ahli Parlimen Bintulu itu, sekiranya isu perpaduan tidak ditangani dengan serius, negara berisiko berdepan konflik dalaman yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan khas kepada 22 penerima dalam kalangan warga polis dan ahli keluarga yang kurang bernasib baik.
Penerima terdiri daripada anak-anak istimewa, ibu tunggal atau balu anggota polis, serta anggota yang menghidap penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang dan menjalani rawatan hemodialisis.
Oleh Carolyne Utih