
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Tee Kai Wun enggan mengambil mudah meskipun dijadual bertemu pasangan yang berada pada ranking lebih rendah dalam Malaysia Masters 2025 yang bakal membuka tirai Selasa ini.
Atlet berusia 25 tahun itu berkata beliau dan pasangannya Man Wei Chong mengambil iktibar daripada aksi di Terbuka Thailand selepas dikejutkan oleh gandingan bukan pilihan dari Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-15, 19-21, 18-21 pada pusingan kedua minggu lepas.
Kai Wun berkata kedudukan dunia kini bukanlah kayu pengukur mutlak untuk menilai kekuatan pencabar dalam kejohanan antarabangsa, sebaliknya perlu berhati-hati dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.
“Ketika di Thailand kita tidak memanfaatkan peluang untuk ikat mata dan dikalahkan pemain Denmark. Kita tidak akan ulangi perkara sama kerana Malaysia Masters peluang untuk kami pergi jauh.
“Saya harap kami boleh tampilkan persembahan terbaik, sebab sekarang kedudukan hanya sekadar nombor, jadi perlu kekalkan momentum ketika perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas sesi uji gelanggang bagi Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena di sini hari ini.
Pada pusingan pertama Malaysia Masters, Wei Chong-Kai Wun yang menjadi pilihan kelima kejohanan dijadual bertemu pasangan bukan pilihan dari Denmark Andreas Sondergaard-Jesper Toft.
-Bernama