
MIRI: Buat julung kalinya, Astro dengan kerjasama stesen TVS telah berjaya menganjurkan ‘Konsert MeleTOP TVS’, edisi pertama konsert ikonik MeleTOP yang berlangsung di luar Semenanjung Malaysia.
Konsert berlangsung di Stadium Bandaraya Miri (Tertutup) malam tadi menyaksikan ribuan peminat membanjiri stadium tersebut bagi menyaksikan gabungan luar biasa seni, budaya dan muzik dari seluruh Malaysia.

Menampilkan tema ‘Nang Champiyen Nang Lagend’, konsert tersebut membawa misi besar iaitu menyatukan rakyat Malaysia melalui kepelbagaian etnik dan budaya dalam satu platform hiburan yang penuh semangat.
Gabungan warisan tradisional Borneo dengan elemen budaya pop semasa menjadikan konsert ini sebagai peristiwa yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyentuh jiwa penonton dari pelbagai latar belakang.

Antara barisan artis yang mengadakan persembahan termasuklah Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Hafiz Suip, Stacy, Floor 88 & Namie, DOLLA, Sada Borneo, Dion Das, Francisca Luhong, Hairee Francis, Wani Kayrie dan Noki.

Turut dimeriahkan penampilan hos rancangan MeleTOP yang cukup dikenali ramai, iaitu Nabil Ahmad, Sherry Alhadad dan Hawa Rizwana, bersama pengacara TVS, Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh yang menambahkan elemen keceriaan sepanjang konsert.

Penganjuran konsert ini mendapat sokongan padu daripada U Mobile selaku penaja utama, Super Kopi (TM) sebagai Kopi Rasmi, dan ERA Sarawak sebagai Geng Radio rasmi membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan acara besar di Sarawak.

Lebih menarik, sebagai praacara kepada konsert tersebut, berlangsungnya Hello Miri bermula 9 hingga 11 Mei 2025 di Atrium 1, Tingkat Bawah, Permaisuri Imperial City Mall, Miri.
Acara ini memberi peluang kepada peminat untuk menyertai pelbagai aktiviti seperti pratonton kandungan Astro, persembahan mini serta sesi bertemu artis secara dekat.

Antara selebriti yang memeriahkan acara Hello Miri termasuklah Siti Saleha, Haneesya Hanee, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Wani Kayrie, Adira, Firdaus Rahmat, Ayu Damit, Noryn Aziz, Shahrul Kamal, Nikki Palikat, Kaka Azraff, Tomok, Priscilla Abby, Dinda Dania, Isaac Voo, serta pelakon antarabangsa drama popular Little Nyonya, Zhang Ze Tong dan Tyler Ten.


PERSEMBAHAN Nadera (kiri) dan persembahan Marsha Milan (kanan). Foto ASTRO
Kejayaan Konsert MeleTOP TVS ini menjadi bukti bahawa muzik dan seni mampu menjadi medium perpaduan, menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dalam semangat kebersamaan dan kepelbagaian yang diraikan.
