
PAKAN: Seorang lelaki cedera di bahagian kaki akibat dilanggar sebuah lori ketika sedang membaiki lorinya yang rosak di tepi Jalan Pakan, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 9.41 malam.
“Respons dengan panggilan kecemasan, komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Bakar Ujang dan enam anggota bomba bergegas ke lokasi kemalangan.
“Setibanya di lokasi, didapati pemandu lori, 38, masih berada dalam lori dan tidak dapat bergerak.
“Mangsa mengalami sedikit kecederaan di kaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, komander operasi mengarahkan anggota bomba menstabilkan mangsa dengan pemasangan ‘cervical collar’ dan seterusnya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dari lori dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pakan yang turut berada di lokasi kemalangan.
“Seterusnya pasukan bomba membersihkan sisa-sisa minyak kesan daripada kemalangan tersebut.
“Operasi di lokasi selesai sepenuhnya pada 11.15 malam,” katanya.
Tambahnya, turut berada di lokasi adalah empat orang anggota polis dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Meradong.
Oleh Earl Anek