
TELUK INTAN: Pemilik syarikat lori telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata individu itu antara 15 saksi dipanggil merekodkan keterangan setakat ini.
“Selain aspek kecuaian manusia dan persekitaran, kita (polis) juga menumpukan aspek teknikal, jadi elemen-elemen seperti penyelenggaraan kenderaan juga diambil kira dalam siasatan ini,” katanya yang ditemui selepas prosiding pendakwaan pemandu lori terbabit dalam kemalangan itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya mengharapkan lebih ramai saksi awam tampil membantu siasatan termasuk mengemukakan rakaman kamera papan pemuka kenderaan.
“Setakat ini tiada sesiapa tampil memberi rakaman. Jika ada, ia akan menjadi bukti kukuh dalam kes ini.
“Dengan bantuan media, beberapa saksi awam telah tampil memberi keterangan selain beberapa pihak berkepentingan akan banyak membantu dalam siasatan ini. Saya seru lebih ramai hubungi polis, maklumat anda akan dirahsiakan,” katanya.
– Bernama