
LONDON: Hospital Eropah Gaza, kemudahan terakhir yang menyediakan rawatan kanser di Semenanjung Gaza, kini tidak beroperasi selepas serangan Israel, menurut badan amal perubatan antarabangsa Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan, MSF berkata hospital yang terletak di Khan Younis itu terpaksa menghentikan operasi selepas dibedil pada 13 Mei.
“Ia merupakan satu daripada talian hayat terakhir dalam sistem penjagaan kesihatan Gaza yang musnah teruk,” tulis MSF di platform X, sambil menyatakan bahawa Hospital Nasser yang disokong MSF kini satu-satunya hospital awam yang berfungsi di Khan Younis, selatan Gaza.
MSF memaklumkan Hospital Nasser turut terkena serangan pada hari yang sama, beberapa jam sebelum hospital Eropah itu – bagi kali kedua dalam tempoh kurang dua bulan.
“Serangan berulang ke atas fasiliti kesihatan jelas menunjukkan pihak berkuasa Israel menjadikan Semenanjung Gaza tidak selamat untuk didiami,” amaran MSF.
Sejak 2 Mac, Israel menutup pintu sempadan Gaza kepada makanan, bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan, memburukkan krisis kemanusiaan yang semakin kritikal, menurut kumpulan hak asasi dan agensi antarabangsa.– Bernama-Anadolu