
ISTANBUL: Seorang pendaki warga Filipina maut ketika cuba menawan puncak Gunung Everest, menurut kenyataan Jabatan Pelancongan Nepal malam tadi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut akhbar tempatan Kathmandu Post, Philipp Santiago, 45, tiba di Kem IV pada kira-kira 8.00 malam waktu tempatan (1415 GMT) kelmarin dalam keadaan amat letih, namun kemudian meninggal dunia akibat kepenatan. Mayatnya ditemukan di situ.
Jabatan tersebut memaklumkan bahawa mayat Santiago terpaksa dibiarkan di Kem IV yang terletak pada ketinggian 7,900 meter (25,919 kaki), berikutan keadaan ekstrem dan cabaran logistik operasi pemulihan.
Lebih 300 kematian telah dilaporkan di wilayah Everest sejak rekod pendakian bermula lebih seabad lalu.
Susulan peningkatan bilangan kematian, kerajaan Nepal kini mempertimbangkan peraturan lebih ketat bagi ekspedisi ke Everest, termasuk yuran permit lebih tinggi dan syarat pengalaman wajib.
Pada 18 April, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Pelancongan Bersepadu di dewan atas parlimen yang mewajibkan pendaki terlebih dahulu menawan gunung melebihi 7,000 meter (22,965 kaki) sebelum mencuba pendakian ke Everest. – Bernama – Anadolu