
KUCHING: Festival Sarawak Harvest & Folklore (SHFF) 2025 kembali dengan pelbagai pengisian menarik, menghimpunkan lebih 22,000 pengunjung dari dalam dan luar negara ke perkarangan Kampung Budaya Sarawak dan Damai CraftWorld Events Centre pada 24 dan 25 Mei ini.
Festival anjuran Sarawak Cultural Village dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Tourism Malaysia itu menjadi medan memartabatkan warisan budaya serta mengangkat Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan penganjuran acara utama di rantau ini.
Dengan tema ‘Celebrating Heritage, Inspiring Future’, SHFF memberi tumpuan kepada pemeliharaan identiti budaya sambil menggalakkan idea serta kreativiti baharu, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah terus memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan festival berkenaan sebagai platform keterangkuman, pemupukan bakat serta penyatuan rakyat berbilang kaum melalui warisan seni dan budaya.
SHFF menampilkan pelbagai program interaktif seperti persembahan muzik dan tarian tradisional, demonstrasi masakan etnik, bengkel kraf tangan, permainan tradisional, serta pameran dan jualan makanan tempatan.
Antara acara kemuncak festival termasuk drama muzikal ‘Rentap – The Battle of Bukit Sadok’ yang menampilkan kisah wira Iban terkenal dan dibintangi artis tempatan seperti Anding Indrawani, Melissa Francis dan Nick Jansen, konsert Damai Rhythm yang menggabungkan irama tradisional dan moden, serta Culturalvaganza, sebuah pertunjukan kebudayaan pelbagai etnik.
Bengkel interaktif turut menerima penyertaan daripada pelbagai institusi termasuk SMK Abdul Jalil Hulu Langat, SK(P) Sultan Ibrahim Johor Bahru, Sekolah Seni Malaysia Sarawak, Danceholic Studio, Dasako Cultural Troupe dan beberapa persatuan kebudayaan tempatan.
Masuk ke festival ini adalah percuma untuk semua aktiviti siang dan malam, dengan kemudahan bas ulang-alik percuma dari Stadium Kuching dan perhentian hotel Riverside Majestic bermula 9.00 pagi hingga 1.00 pagi.
Perkhidmatan khas turut disediakan dari Damai Golf & Country Club dengan bayaran serendah RM5 pergi dan balik.
Oleh Amanda L.