
BINTANGOR: Beberapa rumah panjang di kawasan Jalan KJD Bintangor sedang mengalami gangguan bekalan elektrik semasa lawatan hari ke-17 pra Gawai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama rombongan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, semalam.
Koung Hiing berkata, ia tidak mematahkan semangat penduduk rumah panjang untuk bertemu dan beramah mesra dengan beliau.
“Lawatan ini juga bertujuan meninjau permasalahan infrastruktur dan keperluan penduduk menjelang sambutan Gawai Dayak tidak lama lagi.
“Saya telah mendengar beberapa permohonan daripada tuai rumah (Tr) dan penduduk rumah panjang walaupun terdapat terdapat beberapa rumah panjang mengalami gangguan bekalan elektrik.
“Saya turut melihat jalan utama yang dimohon oleh Tr Jalang kerana rumah panjang belum ada jalan asas menuju ke rumah panjang dan perlu membuat jalan baharu kerana sebelum ini terdapat isu tanah,” katanya yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor kepada media.

Tambahnya, di Rumah (Rh) Jantan, beliau bersama Tr Jantan melihat jalan utama yang sudah runtuh dan perlu dibaik pulih dengan kadar segera kerana ia merupakan jalan utama untuk penduduk rumah panjang menjalankan aktiviti harian.
Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan pra Gawai ke Rh Wong, Rh Rentap, Rh Lawi Chong dan Rh Embuan dan kesemua adalah di kawasan Jalan KJD Bintangor.
Di hari sama, Koung Hiing turut mengadakan lawatan ke Tr Rendu di Skim B Meradong dan memberi penghormatan terakhir kepada suami Tr Rendu yang telah meninggal dunia.
“Saya berharap Tr Rendu dan ahli keluarganya tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.
Oleh Earl Anek