
KOTA SAMARAHAN: Sempena sambutan Hari Ibu tahun ini, para ibu yang hadir bersembahyang di Gereja Saint Michael and All Angels Chapel, Kampung Entingan di sini telah diraikan dalam satu majlis sederhana namun penuh makna.
Majlis dimulakan dengan upacara sembahyang pagi yang diserikan dengan bacaan doa khas serta sajak istimewa sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para ibu.
Selepas selesai sembahyang, para ibu dihimpunkan untuk doa syukur dan turut diraikan dengan acara memotong kek sebagai simbol penghormatan kepada mereka.
Suasana penuh kasih sayang menyelubungi majlis apabila para ibu menyatakan rasa terharu dan bersyukur atas penghormatan yang diberikan.
Sambutan ini turut menjadi peringatan kepada semua tentang pentingnya peranan seorang ibu dalam institusi keluarga.
Seorang ibu bukan sahaja bertanggungjawab mendidik anak-anak, tetapi juga menjadi tonggak kasih sayang dalam sesebuah keluarga. Pengorbanan ibu adalah sesuatu yang tidak ternilai dan sukar dibalas dengan kata-kata.
Ahli dan jemaah Saint Michael and All Angels Chapel turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua wanita yang bergelar ibu, atas segala jasa, cinta dan pengorbanan yang telah mereka curahkan demi kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Oleh Norman B.